AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB pelawa pelajar tingkatan satu mohon biasiswa Yayasan Selangor

SHAH ALAM, 26 JAN: Dato’ Menteri Besar mempelawa anak-anak Selangor yang memasuki tingkatan satu pada tahun ini untuk memohon biasiswa khas Yayasan Selangor.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program bawah Rancangan Khas Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia-Yayasan Selangor turut menawarkan asrama dan kelas bimbingan.

“Semak kriteria dan mohon di www.yayasanselangor.org.my,” katanya di Facebook hari ini.

Permohonan kemasukan pelajar tingkatan satu 2022 bawah program itu dibuka mulai semalam dengan menawarkan 389 tempat di 29 sekolah sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Selain biaya kewangan, pelajar juga bakal mengikuti program kecemerlangan akademik, pembangunan kendiri dan pemantauan berterusan daripada guru yang dilantik.

Orang ramai perlu memohon secara dalam talian dan mencetak borang tersebut untuk dihantar ke Bahagian Hal Ehwal Pelajar Yayasan Selangor melalui serahan tangan atau pos sebelum atau pada 11 Februari 2022.

Kriteria ditetapkan seperti berikut:

1. Mendapat sekurang-kurangnya TP 3 dalam semua mata pelajaran Pentaksiran Bilik Darjah Tahun 6 di sekolah rendah
2. Bersekolah rendah bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) atau sekolah rendah swasta berdaftar bawah KPM (keutamaan kepada murid luar bandar)
3. Pemohon atau ibu atau bapa lahir di Selangor atau bermastautin sekurang-kurangnya 10 tahun
4. Pemohon dari keluarga yang mempunyai pendapatan perkapita (pendapatan ibu bapa bahagi jumlah isi rumah) kurang daripada RM2,000 sebulan
5. Pemohon, ibu dan bapa adalah warganegara Malaysia
6. Pemohon sihat fizikal, mental dan emosi dengan mendapat pengesahan doktor. Pemohon tidak cacat fizikal yang menyukarkan bergerak atau berjalan seperti naik turun bas, bersukan dan lain-lain


Pengarang :