Berikut teks ucapan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam majlis Amanat Tahun Baharu 2022 di Shah Alam pada 24 Januari 2022.
Bahagian kedua: MB: Bukan masa tunjuk kuasa, yakinkan rakyat perkara betul kita lakukan
Bahagian ketiga: Selangor sedia pelan tangani perubahan iklim, pemanasan dunia
Pagi ini dapat kita bersama-sama sekali lagi sebagai mana lazimnya tiap-tahun tahun baharu.
Kita dapat bersama-sama berkumpul untuk melihat kembali beberapa perjalanan kita pada tahun sebelum ini dan menjengah apakah kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku pada tahun yang bakal kita lalui, tahun ini dan tahun-tahun mendatang.
Kalau kita amat-amati, saya sebutkan pada tiap-tiap kali pertemuan bulanan sebelum ini, dan juga pertemuan penting sebagai mana yang dipaparkan dalam montaj yang kita lihat pagi tadi, saya selalu mengingatkan kepada semua terutama kepada saya dan seluruh tenaga kerja penjawat awam Selangor untuk melaksanakan tugas secara berjemaah dan berkumpulan; tidak laksanakan secara in silo (dalam kumpulan sendiri sahaja).
Dalam masa sama kita segera beradaptasi dengan perubahan dan juga menerima perubahan sebagai suatu realiti. Dengan cara itu juga kita dapat lahirkan sebuah pentadbiran dan pengurusan yang tahan uji dan menjaga kepentingan semua pihak dalam dunia yang bergerak pantas, dalam aliran berita yang bergerak pantas dan perubahan-perubahan yang kita lalui secara fizikal dan emosi juga berlaku dengan sangat pantas.
Saudara dan tuan-tuan dikasihi sekalian,
Kita berada dalam realiti baru. Kita berada dalam dunia baharu. Kita patut juga melihat apa yang kita lalui sepanjang 2021 dan 2020 di mana kita berdepan dengan Covid-19. Di sana selalu ditekankan tentang norma baharu dan itulah juga semangat yang selalu saya sebutkan, agar kita berubah dan bersedia menerima perubahan-perubahan yang berlaku.
Kalau tidak, kita akan tertinggal dan jadi tidak relevan. Apa pencapaian yang kita lakukan, apa yang kita laksanakan sebelum ini hanya dianggap sebagai sejarah yang hanya akan diulang-ulang; yang gagal untuk kita kecapi kalau kita gagal menerima perubahan.
Saudara-saudara dan sahabat-sahabat yang saya kasihi sekalian.
Seluruh dunia pada ketika ini, seluruh kehidupan ketika ini, sudah semakin terpencar-pencar atau decentralised. Kita suka atau tidak, tidak ada lagi unikuasa (kuasa tunggal), tidak ada lagi pengumpulan maklumat kuasa dan juga (pusat) pengaruh kepada mana-mana institusi.
Kedudukan sebaliknya semakin decentralised, ia semakin terpisah-pisah dan pemisahan ini berlaku dalam pelbagai lapisan, bidang, subjek dan landasan yang kita lalui.
Kalau kita lihat tentang pelaporan media. Hari ini tidak ada siapa boleh mendabik dada sebagai media arus perdana. Semua orang mempunyai WhatsApp. Semua orang mempunyai media mereka sendiri yang dipanggil sebagai sosial media.
Dengan keadaan ini, berita dan maklumat tidak lagi boleh dikawal; tidak sama seperti sebelum ini. Ada kisah di negeri lain, bukan negeri ini, mereka pernah sengaja mematikan talian elektrik untuk mengelakkan aliran berita keluar esok pagi. Itu semua tidak akan berlaku lagi pada waktu ini.
Dan hari ini kita mendengar noise, atau kebisingan, (di media sosial) itu semakin kuat. Sebelum ini kebisingan, sok-sek sok-sek, cakap sana cakap sini, mungkin kita dengar secara kecil-kecilan, di kedai kopi misalnya.
Sebab itu, kalau di Kelantan dahulu ada orang sebut politik kedai kopi. Sebab di sana akan ada bertebaran berita, propaganda dan analisa yang akan mempengaruhi watak-watak serta perjalanan politik.
Siapa yang rajin pergi kedai kopi dia boleh mempengaruhi, mendapat informasi, dia boleh melakukan sesuatu untuk mempengaruhi orang lain. Tetapi sekarang perkara itu tidak lagi berlaku di kedai kopi, ia berlaku di semua tempat.
Di sini pun ada, ketika ini, sedang WhatsApp, sedang bergosip, sedang membawang, sedang menyampaikan maklumat, sedang berkongsi hadis, sedang berkongsi selamat pagi dengan doa-doa yang sering diulang.
Saudara dan sahabat dikasihi sekalian,
Sebab itu kita tidak boleh lagi beranggapan (kerja pentadbiran) dulu lebih mudah, dulu lebih senang, dulu kita buat instruction, kita buat arahan, (kerja) boleh berjalan. Sekarang bukan masanya kita merungut tentang itu. Kita kena beradaptasi dan bersedia dengan perubahan-perubahan yang berlaku. (Gejala yang disebut tadi) itu dalam media, dalam kehidupan, dalam perjalanan kerja dan sebagainya.
Dalam struktur ekonomi juga bergerak dalam sedemikian rupa. Pada 2014 atau 2015 wujud perbincangan tentang cryptocurrency (mata wang digital) atau Bitcoin. Kertas konsepnya hanyalah sepanjang tujuh muka surat sahaja; yang sampai sekarang kita tidak tahu siapa yang menyediakan kertas itu tetapi sekarang meluas penggunaannya (jika dibanding tempoh awal pada 2010).
Bermula 2013 atau 2014, ada orang memandang remeh tetapi sekarang menjadi satu ledakan sampai merebak kepada non-fungible tokens (NFT) kepada bidang-bidang seperti hasil seni dan karya yang tidak boleh dipegang secara fizikal tetapi boleh dijual beli.
Baru-baru ini di Indonesia. Seorang remaja menjual wajah swafotonya tiap-tiap tahun berjumlah jutaan ringgit Malaysia. Kadang-kadang kita tidak faham. Saya pun sukar untuk berikan kefahaman tetapi itulah realiti yang sedang menerpa, menyerang dan datang bagai ombak kuat sebagaimana kepala air di Sungai Lui, Batu 16, Batu 23 (di Hulu Langat) ketika kejadian banjir yang lepas. Terjahan air yang meranapkan tebing sungai dan beberapa rumah yang memberikan kerosakan sangat luar biasa ketika kejadian banjir baru-baru ini.
Maknanya, perubahan struktur yang besar sedang datang kalau kita tidak bersedia dengan perubahan itu walaupun Kerajaan Negeri sudah mengingatkan. Saya berulang kali di sini menyebutkan kita kena bersedia dengan itu.
Makanya kita akan jadi orang yang kecewa. Kita akan putus asa. Kenapa ini? Kita sudah buat banyak kerja tetapi orang masih menyerang (pentadbiran negeri). Kita sudah penat, kita tidak tidur jaga pusat pemindahan sementara (PPS), buka PPS dan beri bantuan. Tetapi ada lagi orang kritik, orang marah.
Inilah perkara yang berlaku. Bukan hanya pada ketika krisis bencana banjir baru-baru ini, sebaliknya ia akan datang hari-hari, ia akan datang setiap waktu. Keadaan itu adalah kehidupan realiti baharu atau kehidupan dunia baharu yang kita lalui dan hadapi.
Dan ada pula dunia bayangan yang lain; macam saya sebut tadi. Kita ada sistem kewangan atau perbankan yang dibangunkan dengan cukup lama dengan bersandarkan kepada emas. Sekarang kita ada cryptocurrency, yang kemudian merebak kepada NFT.
Selepas ini, ada gejala baharu lagi. Sebelum ini kita ada kejohanan Piala Dunia dalam bola sepak, Piala Thomas dalam badminton. Kita ada Olimpik. Kita ada Komanwel atau Sukan Asean.
Sekarang ada sukan siber yang kita tidak tahu bagaimana pergerakan (masa depannya) tetapi anak kita begitu giat terlibat. Malam-malam, kadang-kadang dia menjerit seorang diri. Kita ingat dia mengigau, rupa-rupanya bercakap dengan kawan dia yang sama-sama bermain PUBG.
Itu antara realiti baharu. Kalau kita ingat, itulah yang terbayang dalam filem seperti Matrix, dalam cerita seperti Avatar. Itulah dia.
Ketika kita makan malam, ketika kita sambut kenduri-kendara, ketika kita datang bertamu bersama sahabat-sahabat, anak-anak kita ada dunia mereka sendiri. Di Facebook, di WhatsApp dan sebagainya.
Itu adalah bayang-bayangan yang tergambar, yang mungkin kita tidak perasan tetapi itulah realiti baharu yang bukan kita tidak mahu ikut serta tetapi kita memang sudah ada dalamnya! Kalau kita tidak beradaptasi, kita akan tertinggal, kita akan dilupakan atau jadi orang yang tidak tahu apa-apa.