Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sidang media khas situasi banjir di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 7 Januari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Peruntukan segera RM40.88 juta dilulus, baik pulih infrastruktur pascabanjir

SHAH ALAM, 7 JAN: Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan segera berjumlah RM40.88 juta bagi melaksanakan projek pembersihan dan pemulihan infrastruktur yang terjejas akibat banjir.

Dato’ Menteri Besar berkata peruntukan itu diluluskan menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) semalam membabitkan projek kelolaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Sebanyak RM9.18 juta diperuntukkan bagi 13 projek kepada JPS bagi usaha pengukuhan tebing sungai, pembinaan ban sungai, pembinaan aras platform Tenaga Nasional Berhad (TNB), pembelian set penghidup mudah alih serta penambahan Sistem Amaran Banjir di kawasan titik penting.

“Sebanyak RM31.7 juta pula diperuntukkan kepada JKR Selangor bagi projek kritikal seperti pembersihan runtuhan cerun, tebing jalan serta baik pulih jalan rosak di Jalan Sungai Lui, Sungai Lalang dan Jalan Bukit Peras,” katanya.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pada sidang media khas situasi banjir di bilik mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Beliau berkata projek kelolaan JPS dianggap kerja darurat dan sangat  perlu buat dibuat segera susulan kejadian banjir baru-baru ini.

“Selain itu kerja pembaikan dan pembersihan perlu segera dilakukan, jika tidak keadaan laluan dan kemudahan seperti jalan serta lereng bukit akan terjejas dan ditutup.

“Saya akan bincang kerana sebahagian jalan melibatkan kerajaan persekutuan. Insya-Allah kita sedia bincang dan dengan peruntukan sedia ada untuk baik pulih infrastruktur dan proses seterusnya,” katanya.


Pengarang :