Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena Majlis Pelancaran Sambutan Jubli Emas Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Wisma PKPS pada 27 Januari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: PKPS teraju usaha jamin bekalan makanan negeri

SHAH ALAM, 29 JAN: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diyakini terus menerajui usaha menjamin bekalan makanan di negeri ini berbekalkan pengalaman selama 50 tahun.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pandemik Covid-19 yang melanda dua tahun lalu memperlihat kepentingan jaminan bekalan makanan untuk masyarakat.

Menurutnya, PKPS yang melalui evolusi daripada organisasi tertumpu kepada penanaman kelapa sawit kini meneroka pertanian moden melalui konsep pertanian tepat serta perladangan pintar.

“Inilah yang saya sering kali tekankan berkenaan keperluan beradaptasi dan terus cekal, bingkas dan tangkas dalam menjalani dunia yang serba ‘agile’ (tangkas) kini.

“Pandemik yang melanda baru-baru ini menyaksikan peri penting isu jaminan bekalan makanan ataupun ‘food security’,” katanya di Facebook hari ini.

Amirudin turut mengucapkan tahniah kepada PKPS atas sambutan jubli emas baru-baru ini, sebahagian sejarah penting kepada industri pertanian khususnya buat petani serta peniaga kecil.

PKPS ditubuhkan pada 2 Januari 1972, menggantikan Lembaga Pinjaman Padi Negeri Selangor untuk memajukan industri perladangan dan sosioekonomi selain melaksana projek komersial untuk faedah rakyat.

Selepas 50 tahun, agensi itu mengorak langkah ke arah pertanian moden dengan memanfaatkan tanah sedia ada menggunakan teknologi baharu termasuk membantu membangunkan usahawan tani.


Pengarang :