Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan isteri Datin Seri Masdiana Muhammad menyerahkan angpau serta buah limau kepada orang ramai sempena Tahun Baharu Cina sekitar Pasar Selayang Baru, Gombak pada 23 Januari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Semangat bantu mangsa bah bukti muafakat rakyat Selangor

GOMBAK, 23 JAN: Kesungguhan dan semangat membantu ketika bencana banjir Disember tahun lalu membuktikan muafakat kukuh pelbagai lapisan kaum di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata masyarakat tanpa mengira kaum membantu meringankan beban mangsa yang terjejas teruk dan kehilangan harta benda.

Menurutnya, kesungguhan dan muafakat berkenaan amat diharapkan Kerajaan Negeri untuk membawa Selangor terus maju dengan kesejahteraannya bakal dirasai rakyat.

“Ketika banjir saya dapati bantuan datang daripada pelbagai pihak, orang India datang membantu membersihkan rumah, begitu juga Melayu dan Cina. Inilah semangat muafakat dan kekuatan kita,” katanya berucap merasmikan Pesta Ponggal di Taman Laksamana Permai di sini hari ini.

Program itu dianjurkan Jawatankuasa Penduduk Zon 7 dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Sungai Tua dan Pusat Wanita Berdaya.

Amirudin yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Tua berkata Kerajaan Negeri giat menganjurkan program kebudayaan bagi memupuk semangat kebersamaan masyarakat majmuk sejak 2008.

“Kita akan berusaha bersungguh-sungguh supaya masyarakat India, Melayu, Cina dapat duduk bersama,” katanya lagi.


Pengarang :