Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena Majlis Pelancaran Sambutan Jubli Emas Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Wisma PKPS pada 27 Januari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Teroka teknologi pintar tingkat hasil tanaman, jamin bekalan makanan

SHAH ALAM, 27 JAN : Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) perlu menyusun strategi mampan untuk memastikan rantaian bekalan makanan di negeri ini berada pada tahap optimum.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kemampuan PKPS diuji ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun agensi itu berjaya mengharunginya dengan memastikan bekalan makanan sentiasa cukup.

“Kerajaan Negeri  bangga melihat PKPS berjaya menyahut peranan dengan baik dalam memastikan produktiviti bekalan makanan sentiasa berada pada tahap konsisten.

“Malah, PKPS juga berjaya mengambil beberapa langkah seperti pelancaran Agro Prihatin Selangor dan Agro Ehsan yang ditempatkan di premis milik badan kerajaan serta swasta untuk memastikan bekalan makanan sentiasa cukup saat PKP,” katanya.

Beliau berucap melancarkan Majlis Sambutan Jubli Emas 50 Tahun PKPS di Wisma PKPS di sini hari ini. Turut hadir isteri Datin Seri Masdiana Muhammad, EXCO Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Ir Izham Hashim serta EXCO Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Hee Loy Sian.

Amirudin turut menyarankan PKPS meneroka bidang pertanian berasaskan teknologi pintar dan kecerdasan buatan selaras dengan kemajuan negeri.

“Sejak awal penubuhannya, evolusi PKPS daripada sebuah organisasi yang hanya tertumpu kepada penanaman kelapa sawit kini berkembang kepada bidang korporat komersial dan pemasaran.

“Saya juga difahamkan PKPS mengorak langkah meneroka pertanian pintar serta mengintegrasi penggunaan teknologi bagi mengoptimum hasil tanaman, justeru saya yakin PKPS terus berperanan penting dalam tempoh 50 tahun akan datang” katanya.

Pada majlis sama, Amirudin turut melancarkan produk baharu PKPS di bawah jenama Ehsan dan menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada warga kerja PKPS.

Pengarang :