AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB ucap Selamat Hari Ponggal, harap kejayaan rakyat dan negeri terus bertambah

SHAH ALAM, 14 JAN: Dato’ Menteri Besar mengucapkan selamat menyambut Hari Ponggal kepada seluruh masyarakat India di negeri ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Hari Ponggal menandakan sambutan musim menuai dan rasa kesyukuran meraikan kejayaan serta kemakmuran yang melimpah ruah.

“Tahun lalu kita diuji dengan pelbagai cabaran. Kes Covid-19 yang tinggi dan musibah banjir telah menguji ketahanan serta kekuatan rakyat serta negeri ini.

“Selangor terus maju dan kental kerana semangat rakyatnya yang tidak mengaku kalah. Semoga tahun ini negeri dan rakyat Selangor bangkit agar kemakmuran dan kejayaan yang dikecapi selama ini terus bertambah,” katanya menerusi Facebook.

Perayaan ini disambut semasa musim menuai oleh masyarakat India di Tamil Nadu sebagai tanda terima kasih kepada alam semula jadi yang disambut pada hari pertama bulan Thai menurut kalendar Tamil.

Ponggal ialah nama nasi manis yang ditanak bersama susu menggunakan periuk tanah. Di Malaysia, perayaan ini dianggap sebagai sebahagian festival melibatkan pelbagai kaum.

Masyarakat Hindu di Taman Sri Muda ketika meraikan Pesta Ponggal ketika tinjauan di Seksyen 25 Shah Alam hari ini. Foto BERNAMA

Pengarang :