Ketua Pegawai Eksekutif MBI Norita Mohd Sidek (tengah) bersama kakitangan yang menerima bantuan susulan banjir di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 12 Januari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MBI belanja RM2.8 juta bantu mangsa bah seluruh negeri

SHAH ALAM, 12 JAN: Sejumlah RM2.8 juta dibelanjakan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI untuk membantu mangsa banjir negeri ini, kata ketua pegawai eksekutifnya.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM1.3 juta disumbangkan beberapa syarikat MBI yang diserah kepada Tabung Ikhtiar Selangor Bangkit, jelas Norita Mohd Sidek.

Beliau memaklumkan Jabatan Tanggungjawab Sosial Korporat pula memperuntuk RM1.5 juta untuk agihan wang ihsan, makanan, keperluan asas dan alatan pembersihan.

“Diharap semua sumbangan ini dapat mengurangkan beban dan kesedihan mangsa banjir untuk bangkit semula membina kehidupan,” katanya selepas menyerahkan bantuan kepada staf terkesan bah di sini.

Selain itu, Norita berkata kakitangan MBI turut terlibat menyediakan makanan bermasak kepada mangsa banjir pada Disember lalu melalui program Dapur Ehsan.

Kerajaan Selangor melaksanakan program berkenaan selama 12 hari mulai 20 hingga 31 Disember bagi memudahkan mangsa banjir mendapat keperluan makanan.

Sepanjang tempoh itu, kira-kira 14,000 bungkusan makanan diagih kepada mangsa sekitar Taman Sri Muda, Padang Jawa dan Puchong termasuk di pusat pemindahan sementara.

 


Pengarang :