Ketua Pegawai Eksekutif MBI Norita Mohd Sidek (dua, kanan) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Dewan Kampung Sesapan Batu Minangkabau, Beranang pada 30 Januari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMAJENAYAHPILIHAN MINGGUAN

MBI peruntuk RM27,300 bantu mangsa banjir, beri manfaat 91 keluarga

KAJANG, 30 JAN : Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memperuntuk sejumlah RM27,300 bagi membantu 91 keluarga terkesan banjir di mukim Beranang, di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Norita Mohd Sidek berkata setiap rumah menerima wang tunai RM300 dan diharap sumbangan tersebut dapat meringankan beban mereka.

“Sebanyak tujuh kampung di mukim ini terlibat dengan banjir pada 22 November tahun lalu. Bencana ini juga menyebabkan banyak kerosakan dan kerugian dialami penduduk.

“Justeru, MBI terpanggil untuk menyampaikan sedikit sumbangan tunai ini kepada mereka. Semoga bantuan dapat meringankan beban mangsa,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Mangsa Banjir Beranang oleh MBI di Balai Raya Kampung Sesapan Batu Minangkabau.

Selain bantuan kewangan kepada mangsa banjir, Norita berkata MBI turut mengagihkan bakul makanan serta menyediakan sukarelawan bagi membantu kerja pembersihan pascabanjir.

“Banyak bantuan sudah diagihkan, insya-Allah ia akan diteruskan dari semasa ke semasa. Semua bantuan ini juga adalah peruntukan daripada RM1.5 juta seperti diumumkan sebelum ini,” katanya.

Pada 22 November tahun lalu, tujuh kampung sekitar Beranang terjejas banjir iaitu Kampung Sesapan Batu Minangkabau, Kampung Sesapan Batu Rembau, Kampung Sungai Jai, Kampung Jalan Enam Kaki Kampung Paya Tanjung, Kampung Sesapan Kelubi dan Kampung Bukit Kepong.


Pengarang :