Ketua Pegawai Eksekutif MBI Norita Mohd Sidek (tengah) menyerahkan sumbangan kepada kakitangan yang terjejas banjir di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 12 Januari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MBI prihatin, agih RM27,000 bantu staf terkesan banjir

SHAH ALAM, 12 JAN: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memperuntuk sejumlah RM27,000 bagi membantu sembilan kakitangan yang terkesan banjir bulan lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Norita Mohd Sidek berkata sumbangan RM3,000 setiap seorang untuk meringankan beban mereka susulan kerosakan harta benda.

“MBI turut memberi barang keperluan asas dan makanan. Bukit Beruntung Golf Resort Sdn Bhd, syarikat milik MBI turut menyumbang tilam, selimut dan bantal kepada mangsa,” katanya.

Beliau yang ditemui selepas menyerahkan sumbangan di Bangunan Darul Ehsan di sini hari ini berkata pihaknya turut membentuk pasukan sukarelawan bagi membersihkan kediaman mangsa terjejas.

“Terima kasih kepada pasukan ini, tidak sangka ramai staf sanggup membantu rakan lain sebagai satu keluarga. Harap semangat ini berterusan,” katanya menambah pasukan dianggotai 30 kakitangan.

Sementara itu, salah seorang penerima bantuan Asyraf Azman berkata sumbangan terbabit digunakan untuk membaiki kenderaan selain membeli perabot yang rosak.

Dia yang tinggal di Kampung Sri Aman, Puchong turut berterima kasih kepada majikannya yang terus memberi sokongan dan semangat selepas berdepaan dugaan Disember lalu.

“Bantuan tenaga rakan sekerja lain juga sangat dihargai. Untuk bersihkan sendiri memang tidak mampu kerana tidak tahu mahu mulakan dari mana,” katanya.


Pengarang :