Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor menyampaikan sumbangan kepada wakil Sekolah Agama Menengah Tinggi (SMAT) Tengku Ampuan Jemaah, Seksyen 11, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Suhaimi Mohd Salleh pada 28 Januari 2022. Foto MBI
AGENSISELANGOR

MBI sumbang 200 kit ujian air liur kepada SMAT Tengku Ampuan Jemaah

SHAH ALAM, 28 JAN: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyumbangkan 200 kit ujian air liur Covid-19 kepada Sekolah Agama Menengah Tinggi (SMAT) Tengku Ampuan Jemaah, Seksyen 11 di sini hari ini.

Ketua tanggungjawab sosial korporatnya berkata sumbangan itu bagi membantu meringankan beban pihak sekolah dalam mendepani ujian pelajar dijangkiti wabak berkenaan sejak 19 Januari.

“Selain kit ujian air liur kita turut menyerahkan 50 kotak makanan kering dan air mineral dengan peruntukan keseluruhan sejumlah RM5,000.

“Kita terpanggil untuk bantu sekolah ini selepas mendapat tahu 26 pelajar lelaki dijangkiti Covid-19 dan kebanyakan daripada mereka termasuk kontak rapat perlu menjalani kuarantin di sini,” kata Ahmad Azri Zainal Nor kepada SelangorKini.

Manakala, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Suhaimi Mohd Salleh berkata beliau mewakili pihak sekolah turut mengucapkan terima kasih kepada MBI yang banyak membantu dan beri sumbangan.

“Tahun lepas pihak MBI juga pernah sumbangkan tablet untuk pelajar sekolah ini bagi memudahkan pelajar menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Alhamdulillah dengan sumbangan ini sedikit sebanyak meringankan beban pihak sekolah. Insya-Allah kit ujian air liur ini boleh kita guna untuk mengesan pelajar sama ada masih dijangkiti wabak atau tidak,” katanya lagi.


Pengarang :