Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor (kanan) menyampaikan komputer riba kepada pasangan kembar siam, Ahmad Rosli, 24, (dua kanan) dan Muhammad (dua kiri) di Kampung Tengah Puchong, Subang Jaya pada 21 Januari 2022. Turut sama Pengurus Operasi Jualan Mudah Alih dan Pelaksanaan Unifi Sakuan Yusof (kiri). Foto AHMAD ZAKKI JILN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MBI sumbang komputer riba buat pasangan kembar Ahmad, Muhammad

SUBANG, 22 JAN: Pasangan kembar Ahmad dan Muhammad Rosli menerima dua unit komputer riba semalam sumbangan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

Mereka juga diberikan kad modul pengenalan pelanggan (SIM) secara percuma berserta data internet tanpa had selama 12 bulan, kata ketua tanggungjawab sosial korporat MBI.

“MBI berharap sumbangan ini digunakan sebaik mungkin sama ada meneruskan pengajian pada masa akan datang atau kerja rekaan untuk menampung kehidupan mereka,” kata Ahmad Azri Zainal Nor.

Beliau berkata peruntukan banjir berjumlah RM1.5 juta habis digunakan, namun pihaknya bersedia mempertimbang permohonan baharu bagi membantu mangsa yang memerlukan.

Kedua-dua komputer riba pasangan kembar berusia 24 tahun itu rosak selepas rumah mereka di Kampung Tengah Puchong antara yang terjejas teruk susulan banjir pada 18 Disember tahun lalu.

Ahmad dan adiknya Muhammad adalah pasangan kembar yang dilahirkan bercantum di bahagian dada sehingga pangkal paha sebelum dipisahkan pada September 2002.

Mereka menjalani pembedahan selama 22 jam 45 minit di Hospital King Fahd National Guard di Riyadh, Arab Saudi yang ditaja Almarhum Raja Abdullah Abdulaziz Al-Saud.

Muhammad yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer kini bekerja sebagai ketua projek teknologi maklumat di salah sebuah syarikat di Cyberjaya.


Pengarang :