Wakil Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyerahkan periuk serba guna kepada salah seorang mangsa banjir di kawasan kendaliannya pada 23 Januari 2022. Foto Ihsan MBSA
PBTSELANGOR

MBSA sumbang periuk serba guna kepada lebih 1,500 mangsa banjir

SHAH ALAM, 23 JAN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyumbang 1,525 periuk serba guna kepada mangsa banjir sekitar kawasan kendaliannya hari ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya berkata inisiatif itu sebagai langkah susulan meringankan beban mangsa yang kehilangan harta benda akibat bah besar pada Disember tahun lalu.

Jelas Shahrin Ahmad bantuan melibatkan 635 mangsa di Taman Seri Muda, Padang Jawa (400), Kampung Lanchong Jaya (240) dan Kampung Kebun Bunga Batu 3 (250).

“Datuk Bandar Dato’ Zamani Ahmad Mansor meluangkan masa menyerahkan sendiri bantuan ini kepada mangsa.

“Beliau sempat beramah mesra selain mengetahui perkembangan semasa semua mangsa. Kita harap bantuan ini dapat membantu mereka,” katanya ketika dihubungi.

Kawasan kendalian MBSA antara lokasi utama negeri ini mengalami kerosakan teruk selain daerah Hulu Langat dan Subang Jaya.


Pengarang :