Timbalan Datuk Bandar Shah Alam Mohd Rashidi Ruslan meninjau kerja pembersihan sisa pascabanjir di kawasan perumahan Taman Sri Muda, Shah Alam pada 5 Januari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBSA tambah stesen pemindahan sementara uruskan sampah bah

SHAH ALAM, 5 JAN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menambah satu lagi stesen pemindahan sementara di Seksyen 35 (Alam Impian) bagi memudahkan pembersihan sampah bah.

Stesen sedia ada setakat ini meliputi Seksyen 21, Seksyen 35, Seksyen 34, Seksyen 29, Seksyen 28 dan Seksyen 25, kata Timbalan Datuk Bandar Mohd Rashidi Ruslan.

Beliau menjelaskan sampah pukal dari lokasi banjir dikumpulkan di stesen berkenaan sebelum dibawa ke tapak pelupusan sampah di Kuala Langat dan Jeram.

“Kita anggarkan tambahan stesen dapat meningkatkan sasaran kutipan 3,000 tan metrik. Stesen ini memudahkan pergerakan lori dari lokaliti banjir dan mengurangkan tempoh perjalanan,” katanya.

Beliau yang ditemui selepas meninjau operasi pembersihan pascabanjir di Taman Sri Muda hari ini menambah sebanyak RM5 juta diperuntuk bagi melaksanakan kerja tersebut.

“RM3.5 juta dianggarkan daripada MBSA manakala baki daripada Kerajaan Negeri,” kata Mohd Rashidi.

Belasan stesen pemindahan sementara dibuka setakat ini bagi mempercepat kerja pembersihan pascabanjir di empat pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri.

Selain MBSA, PBT lain termasuk Majlis Perbandaran Kajang, Majlis Perbandaran Sepang dan Majlis Bandaraya Subang Jaya.


Pengarang :