Aksi pemain MBSJ FC (kiri) ketika menentang First 11 FC pada peringkat suku akhir Liga Super Wanita FAS di Radia Arena Bukit Jelutong pada 10 Januari 2022. Foto FAS
AGENDASELANGORSUKANKINI

MBSJ FC bergaya ke separuh akhir Liga Super Wanita FAS

SHAH ALAM, 11 JAN: Pasukan bola sepak Majlis Bandaraya Subang Jaya FC (MBSJ FC) berjaya menempah slot ke separuh akhir Liga Super Wanita FAS selepas memenangi aksi suku akhir malam tadi.

Pasukan itu membenam First 11 FC 4-0 hasil jaringan Steffi Sargie pada minit ke-21 dan 49, manakala dua gol lagi melalui Farahiyah serta Fatin Shahida masing-masing minit ke-44 dan 72.

Saingan di Radia Arena Bukit Jelutong turut menyaksikan Negeri Sembilan Women’s FC (NSWFC) melangkah ke separuh akhir apabila menewaskan UiTM FC 4-0.

Pemain UiTM FC (jersi gelap) mengawal bola daripada dirampas pemain Negeri Sembilan Women’s FC ketika perlawanan peringkat suku akhir Liga Super Wanita FAS di Radia Arena Bukit Jelutong pada 10 Januari 2022. Foto FAS

FC Swat pula meraikan kemaraan sama selepas menumbangkan SA United FC 1-0 menerusi sepakan penalti pada minit ke-65.

The Footsouls juga mengesahkan tempat ke separuh akhir apabila menewaskan Leopard FC 2-0.

Dalam pada itu Nurul Nadia Roslan dari The Footsouls mengungguli sebagai penjaring terbanyak 10 gol sepanjang kempen ini diikuti Malini Nordin (NSWFC) meledak tujuh jaringan

Henrietta Justine (NSWFC) dan Steffi Sarge Kaur (MBSJ) pula masing-masing menjaring enam gol.

Liga Super Wanita Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) membuka tirai pada 29 November tahun lalu dengan disertai 10 pasukan.

Kejohanan terbahagi kepada dua kumpulan, empat pasukan teratas layak ke separuh akhir manakala babak akhir berlangsung hujung bulan ini di Stadium MBSJ.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan merasmikan liga terbabit di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, Petaling Jaya pada 20 November.


Pengarang :