Selangorkini
BUDAYA RENCANA

Membina khalayak sastera

Oleh Lokman Hakim

Ilustrasi Fahmi Mustaffa

Menelusuri Netflix membawa saya kepada kisah kejayaan Blackpink. Sepanjang menonton dokumentari itu saya tertanya-tanya apakah faktor utama Blackpink begitu berjaya? Adakah suara mereka begitu sedap? Adakah tarian mereka begitu hebat? Adakah paras rupa yang cantik menjadi penentu? Dalam paparan dokumentari itu, saya tertarik dengan kaedah produser utama Blackpink bernama Teddy Park. Beliau meneliti trend muzik di seluruh dunia dan menebak gaya muzik segar yang berkeberangkalian boleh menembusi pasaran antarabangsa. Pendek kata, beliau tidak sewenang-wenangnya menggubah lagu tanpa memahami landskap muzik dunia dan dinamiknya. Itulah kekuatan Blackpink yang terletak pada individu bervisi ini.

Saya fikir sastera perlukan orang macam Teddy Park. Sastera tidak perlukan gimik tarian aneh di TikTok. Tidak perlu pengarang melaram sekacak atau secantiknya di media sosial. Tidak perlu juga pengarang menayangkan kehidupan peribadinya di media sosial demi secebis konten yang dipercayai dapat memperkenalkan dirinya kepada khalayak umum. Orang seperti Teddy Park akan mengkaji dinamik dunia buku dan membuat perbandingan di antara khalayak sastera di setiap negara sebelum menggariskan strategi khusus langkah-langkah untuk mempopularkan sastera itu. Adakah dunia sastera tempatan memiliki individu seperti ini? Saya meraguinya.

Saya baru sahaja selesai menulis cerpen yang akan saya kirimkan kepada majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Pulangannya agak lumayan jika cerpen disiarkan. Namun tiada jaminan sama ada cerpen yang saya hantar itu akan tersiar dalam waktu terdekat. Tidak mustahil juga cerpen itu akan ditolak tanpa sebarang makluman. Menulis karya kreatif setakat ini amat sukar untuk disinonimkan selaku suatu pekerjaan bermaruah yang memberikan pendapatan stabil kepada pengarang. Terlalu banyak yang harus diubah dalam ekosistem sastera tempatan. Sistemnya tidak mampu membantu pengarang. Seorang Teddy Park tidak mampu menyelamatkan sastera. Ia perlu reformasi menyeluruh.

Ketika menonton filem Snowpiercer (2013) arahan Bong Joon-Ho, saya terlihat penglibatan Korean Cultural Centre dalam menjayakan pembikinan filem antarabangsa itu. Saya juga menerima naskhah percuma majalah Korean Literature yang dihantar terus dari Korea. Kerja-kerja mengangkat sastera itu sebenarnya sangat memerlukan iltizam politik yang tinggi. Penglibatan kerajaan secara agresif dalam usaha pengantarabangsaan sastera akan menentukan nasib penggiat sastera Malaysia sama ada berhasil menjadikan ia suatu kerjaya bermaruah.

Okay, adakah semua itu memadai?

Jujur cakap, di atas kertas semuanya kelihatan mudah. Teddy Park sendiri mungkin akan menyerah kalah apabila diberi tugasan mengangkat martabat sastera negara ini. Pendekatan yang lebih mesra masyarakat menjurus kepada penyediaan bahan bacaan yang berkualiti rendah. Hal ini juga berkait rapat dengan isu pendidikan yang tidak diladeni usaha bersungguh-sungguh untuk membudayakan kecintaan pada ilmu. Selagi pendidikan berorientasikan kehendak pasaran sehingga mengenepikan kepentingan ilmu, tiada apa sangat yang boleh dilakukan.

Jadi budaya

Saya mahu bina khalayak sastera. Asasnya tidak ada. Barangkali memberikan definisi baharu terhadap sastera itu lebih mudah. Bilangan ciapan tentang sastera di Twitter. Ulasan buku di TikTok. Perbincangan tentang hal-ehwal sastera di Twitterspace. Lambakan audio siar diskusi sastera di Spotify. Justeru, seorang sasterawan mungkin tidak lagi dilihat keaktifan berkarya melalui jumlah buku yang ditulisnya. Barangkali kejayaan seorang sasterawan boleh dinilai melalui penglibatannya di media sosial selaku pejuang bahasa. Namun kita harus berpijak di dunia nyata. Kelompok peminat sastera masih terbatas. Meskipun kelihatannya rancak diskusi di Twitterspace atau Clubhouse atau perkongsian ulasan buku di laman YouTube kelolaan milik booktuber, kita faham bahawa tidak mudah untuk kelompok bukan-pembaca mengikuti pengisian konten sebegini. Sastera harus jadi budaya. Membaca buku harus jadi gaya hidup masyarakat umum.

Di media sosial, kebenaran dan kebatilan berkongsi spektrum yang sama. Acapkali masyarakat diprovokasi dengan hal-hal sepele yang tidak sahih. Wajarkah buku dipromosi dengan cara ini? Saya boleh saja agaknya meletakkan ciapan tentang buku saya dengan naratif sebegini: Gambar longgokan buku (yang tidak terjual) dalam sampul penghantaran dengan kapsyen lebih kurang begini “Setiap hari sastera terjual sampai tak menang tangan”. Tetapi saya tidak selesa dengan pembohongan. Saya tidak menulis untuk membohongi masyarakat. Satu-satunya pembohongan yang saya sukai selaku pengarang hanyalah ketika menulis fiksyen.

Memperkenalkan sastera memerlukan komitmen setiap pihak. Malangnya tidak semua orang peduli kepentingan sastera dalam melembutkan nubari manusia yang sarat materialistik. Saya enggan membina khalayak sastera dengan kudrat sendiri. Selagi tiada sokongan kerajaan dan tiada sistem pendidikan yang berwawasan, rasanya elok saya tidak begitu menaruh harapan pada sastera selaku sumber pendapatan.

Okay adakah ia memadai untuk saya selaku pengarang? Semestinya tidak. Setiap kali buku baharu terbit saya akan menghitung hari buku tersebut beredaran di pasaran sebelum dihentikan cetakan. Pada buku yang ke-24, saya tidak lagi teruja mendengar perihal buku saya diterbitkan. Namun saya tetap berpuas hati dengan apa yang dihasilkan meskipun khalayaknya samar-samar kewujudannya.

Suatu ketika dahulu, kugiran yang saya sertai diletakkan giliran persembahan di penghujung gig. Ketika itu, ramai pengunjung gig yang sudah pulang sehingga tiada siapapun bertenggek di depan pentas menonton persembahan kami. Saya terus mengingatkan rakan-rakan pemuzik ketika itu yang tengah merudum semangat untuk meneruskan persembahan supaya anggap sahaja ini sesi latihan studio. Begitulah juga mengarang karya sastera di Malaysia ini. Saya tidak mengharapkan khalayak untuk tegar menulis, tetapi saya beriman pada kepengarangan diri. Mungkin pada buku yang ke-34 ataupun ke-100 sekalipun, saya harus percaya pada daya kepengarangan saya selaku satu-satunya kekuatan saya untuk menulis. Khalayak sastera adalah bayangan diri dan ia akan kekal begitu.

 

 


Pengarang :