PBTSELANGOR

MPK jual buku kupon parkir RM1, ringan beban pascabanjir

SHAH ALAM, 29 JAN: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menjual buku kupon parkir serendah RM1 yang boleh digunakan mulai bulan ini sehingga Mac, sebelum beralih ke digital sepenuhnya.

Diskaun 60 peratus berbanding harga asal RM2.50 bagi menyokong inisiatif Bantuan Selangor Bangkit dan meringankan beban masyarakat pascabanjir, kata pengarah komunikasi korporatnya.

Menurut Norfiza Mahfiz, harga kupon bulanan pula dijual pada kadar RM40 sekeping iaitu diskaun 50 peratus manakala RM100 bagi pembelian tiga keping kupon.

“Orang awam boleh mendapatkan kupon pada harga istimewa di kaunter MPK berhampiran,” katanya.

Sebelum ini, MPK mengambil beberapa inisiatif untuk membantu mangsa banjir antaranya mengubah laluan Bas Smart Selangor selama sebulan sehingga 7 Februari bagi memudahkan pergerakan mereka.

Pada 4 Januari lalu, EXCO kerajaan tempatan memaklumkan orang ramai masih boleh menggunakan kupon parkir bergores di seluruh pihak berkuasa tempatan sehingga hujung Mac.

Ng Sze Han berkata keputusan melanjutkan kaedah itu bagi membolehkan masyarakat menghabiskan kupon sedia ada yang tidak digunakan susulan Perintah Kawalan Pergerakan.

 


Pengarang :