Penguat kuasa MPK menyita gerai tanpa permit dan penjaja warga asing di sekitar Batu Belah, pasar pagi Jalan Pelasari di Taman Chi Liung dan Jalan Teratai pada 16 Januari 2022. Foto Facebook MPK
PBTSELANGOR

MPK sita gerai penjaja warga asing, tanpa permit

SHAH ALAM, 17 JAN: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menyita gerai penjaja tanpa permit dan penjaja warga asing di beberapa kawasan di bawah pentadbirannya.

Pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan tindakan sitaan penjaja tanpa permit dilakukan di Batu Belah manakala penjaja warga asing di pasar pagi Jalan Pelasari di Taman Chi Liung dan sekitar Jalan Teratai.

“Tindakan penguatkuasaan dibuat terhadap warga asing yang menjalankan perniagaan menjual sayur di dalam kawasan pasar pagi.

“Tindakan sitaan di bawah peruntukan Undang-Undang Kecil (UUK) 3 Penjaja (MPK) 2007 terhadap semua penjaja tersebut,” maklumnya menerusi Facebook.

Menurut MPK, empat kompaun turut dikeluarkan terhadap penjaja tanpa lesen yang merupakan warga tempatan di bawah peruntukan undang-undang sama.

“Kesemua barang sitaan dibawa ke stor pejabat penguatkuasa untuk tindakan lanjut,” katanya.


Pengarang :