Operasi pemantauan dan penangkapan haiwan ternakan yang berada di kawasan laluan awam dan perumahan oleh Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) pada 27 Januari 2022. Foto Facebook Majlis Perbandaran Kuala Selangor
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MPKS kompaun empat pemilik lepas ternakan di kawasan larangan

SHAH ALAM, 29 JAN: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) mengenakan kompaun kepada empat pemilik haiwan kerana melepaskan ternakan di kawasan larangan dalam operasi pemantauan di sekitar kawasan Bestari Jaya dan Jeram pada Khamis.

Dalam operasi sama, agensi itu turut menangkap lembu dan kambing masing-masing dua ekor dalam operasi tersebut.

“Operasi dijalankan bertujuan mencegah haiwan peliharaan tidak berkeliaran di kawasan awam terutama kawasan perumahan selain untuk keselamatan pengguna jalan raya.

“Kompaun dikeluarkan di bawah Seksyen 4(4) Enakmen Mengawal Lembu-Kerbau 1971. Semua haiwan itu dibawa ke Pusat Kurungan Haiwan MPKS untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi Facebook.

MPKS itu turut mengingatkan kepada pemilik ternakan bahawa agensi itu boleh mengurung mana-mana lembu atau kerbau yang ditangkap di bawah seksyen sama.

“Seksyen 13 Enakmen yang sama memberikan kuasa kepada pihak Majlis untuk menjalankan pendakwaan di mahkamah ke atas mana-mana pemunya, penjaga kerana melanggar mana-mana peruntukan di dalam enakmen tersebut,” katanya.

Orang ramai yang ingin membuat aduan boleh menghubungi talian 0332891439 atau layari laman sesawang di selangor.spab.gov.my.

 


Pengarang :