Selangorkini
Program penanaman nanas bernilai tinggi jenis MD2 di Selangor mula berhasil apabila keluasan penanaman mencecah 404 hektar. Foto: Facebook Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Nanas MD2 tawar pendapatan hingga RM80,000 seekar – usahawan tani

Oleh Muhammad Basir Roslan

KUALA LUMPUR, 19 JAN: Berpotensi menghasilkan pendapatan hingga RM80,000 bagi setiap ekar (0.4 hektar), perladangan nanas MD2 sememangnya berbaloi diteroka, dan Hasnul Amri Jamaluddin dari Johol, Negeri Sembilan antara yang sanggup meninggalkan kerjaya berpejabat dan menceburi bidang itu.

Hasnul Amri, 27, menukar kawasan bertanah mineral di lereng bukit seluas lapan ekar miliknya kepada ladang nanas MD2 yang dijangka mengeluarkan hasil pertama pada Mei ini.

Menurut usahawan muda itu, selain pulangan lumayan, tanaman nanas juga tidak banyak “kerenah” dan buah pula boleh menghasilkan pelbagai produk lain seperti jus yang semakin popular dalam kalangan masyarakat.

Potensi pasaran buah nanas segar juga besar di negara ini dan tidak putus, katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Minat perniagaan tani 

Hasnul Amri berkata sebelum menjadi usahawan tani, beliau adalah penyelidik di Kementerian Kesihatan selepas menamatkan pengajian di Universiti Sains Islam Malaysia pada 2018.

“… namun hati saya sebenarnya lebih meminati bidang perniagaan dan pertanian. Maka saya ambil keputusan menceburi bidang pertanian nanas,” katanya, menambah usaha beliau dibantu oleh bapa saudaranya.

Bagaimanapun katanya, sebelum membuka ladang nanas tersebut, beliau terlebih dahulu mempelajari ilmu tentang pertanian dan juga tanaman berkenaan.

Menurutnya, beliau memperoleh 24,000 benih nanas daripada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dan memulakan penanaman fasa pertama pada Mac 2021, membabitkan 13,000 pokok berbekalkan modal RM45,000 bagi setiap ekar.

“Pokok nanas mencapai tempoh matang pada usia sembilan bulan, iaitu tempoh sesuai untuk menjalankan aktiviti aruhan pendebungaan.

“Proses ini dijalankan secara berperingkat bagi mengawal jadual pengeluaran hasil. Secara keseluruhan, tanaman nanas boleh dituai hasil dalam tempoh 14 bulan selepas penanaman,” katanya yang merancang memperluas ladang hingga 100,000 pokok dalam masa terdekat.

Berinovasi 

Sementara menunggu hasil ladang sendiri, Hasnul Amri tidak berpeluk tubuh, sebaliknya mengusahakan kilang jus nanas yang beroperasi di Shah Alam, Selangor.

Menurutnya, beliau mendapatkan bekalan nanas berkualiti tinggi daripada pengusaha ladang nanas lain yang menyaksikan jus jenama Johol Pine mula dipasarkan secara dalam talian pada penghujung Jun tahun lepas.

“Hingga kini kami berjaya menjual kira-kira 8,000 botol jus segar dengan pendapatan keseluruhan sekitar RM24,000,” katanya, menambah beliau hanya menggunakan buah premium AA, iaitu dengan berat dua kilogram ke atas.

Menurutnya, pemilihan buah juga harus dilakukan secara berhati-hati bagi mengekalkan kesegaran jus dan rasa manis buah asli.

“Saya tidak menggunakan sebarang perisa tambahan apatah lagi perisa tiruan dalam jus ini,” katanya, menambah beliau bercadang untuk mengeluarkan produk sambal hitam nanas dalam tempoh terdekat.

Pada masa sama, Hasnul Amri yang berdaftar sebagai usahawan nanas dengan LPNM, menasihati mereka yang berminat menceburi bidang itu agar mematuhi kaedah penanaman mengikut teknologi yang disyorkan oleh LPNM, bagi memastikan penghasilan buah berkualiti dan mengikut tempoh yang sewajarnya.

Terus hulur bantuan 

Sementara itu, Pengarah LPNM Negeri Sembilan dan Melaka Siti Hajar Ramlee berkata terdapat pelbagai bantuan yang disediakan untuk pengusaha nanas mengikut program yang ditetapkan oleh lembaga itu.

Antaranya ialah Program Pengukuhan Tanaman Nanas Bernilai Tinggi yang menyalurkan bantuan berupa 42,000 sulur nanas – mencukupi untuk sehektar, serta bantuan input pertanian berupa baja sebatian nitrogen, fosforus dan kalium (NPK) mengikut keluasan ladang.

“Syarat permohonan pula ialah peserta mestilah warganegara Malaysia dan tanaman nanas yang dimiliki ialah secara tunggal, mempunyai pemilikan tanah yang sah serta keluasan minimum adalah seekar,” jelasnya.

Bagi peserta Program Integrasi Tanaman pula, mereka akan menerima bantuan berupa 8,000 hingga 10,000 sulur nanas setiap ekar, manakala untuk peserta Program Agropreneur Muda, bantuan geran akan diberikan dalam bentuk barangan (dengan nilai maksimum RM20,000 setiap individu).

“Syarat permohonan untuk program ini ialah individu berumur 18 hingga 40 tahun dan baru memulakan projek tanaman. Mereka juga wajib mengikuti latihan teknikal yang dianjurkan oleh jabatan/agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan atau yang diiktiraf kementerian,” jelasnya.

Menurut Siti Hajar, LPNM sentiasa mengadakan kursus secara teori dan juga amali kepada pengusaha dan maklumat lanjut boleh didapati daripada laman sesawang LPNM (www.mpib.gov.my) atau media sosial rasmi Facebook LPNM.

Potensi industri 

Berkongsi mengenai potensi industri nanas untuk pasaran di dalam dan luar negara, Siti Hajar berkata pasaran dalam negara mempunyai ruang untuk berkembang dengan lebih luas kerana kekurangan saingan dari luar negara.

“Untuk pasaran luar negara, permintaan nanas segar daripada negara China sahaja sebanyak 100 kontena sebulan. Industri nanas juga telah menguasai beberapa pasaran utama seperti di negara Timur Tengah, Singapura dan Jepun, selain penerokaan pasaran baharu seperti di Eropah yang akan membantu meningkatkan lagi kecemerlangan industri nanas Malaysia.

“Ini kerana pelbagai produk dapat dihasilkan daripada sebiji nanas. Antaranya ialah produk berasaskan makanan seperti kerepek nanas, sos nanas, kopi nanas, jus/minuman, jem dan tart nanas, manakala produk bukan makanan adalah seperti kertas, silaj, kosmetik dan benang serat nanas.

“Perlu kita tahu buah nanas penuh dengan khasiat seperti vitamin C, B, dan enzim bromelin. Nanas MD2 pula memiliki lebih kemanisan, pulpanya lebih manis, kurang serat dan mengandungi empat kali lebih banyak vitamin C daripada nanas jenis lain. Sebab itu kita jangkakan industri nanas, terutamanya MD2, mempunyai potensi besar dan perlu terus diteroka dari semasa ke semasa,” ujarnya.

– BERNAMA


Pengarang :