Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin (tengah) membantu membersihkan longkang tersumbat menggunakan penyedut ketika Program Pembersihan Mega di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 8 Januari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Negeri kumpul cadangan, nilai kaedah atasi banjir

SHAH ALAM, 8 JAN: Cadangan jangka pendek dan panjang pelbagai pihak bagi mengatasi masalah banjir di negeri ini akan dinilai bulan depan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan cadangan tersebut sedang dikumpul EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim khususnya di lokaliti tumpuan seperti Taman Sri Muda.

“Ada cadangan terowong pintar dan ada yang minta betulkan bajet untuk sungai. Semua ini kita akan nilai dan bentangkan dalam tempoh terdekat.

“Perkara ini juga dibincangkan dengan kerajaan persekutuan,” katanya selepas meninjau program Pembersihan Mega Pascabanjir di Taman Sri Muda hari ini.

Amirudin berkata antara pihak yang memberi cadangan ialah Jabatan Pengairan dan Saliran, Lembaga Urus Air Selangor dan beberapa sektor persendirian.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Susulan itu, semua aset Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan termasuk bomba, polis dan tentera dikerah bagi memindahkan mangsa ke tempat selamat selain mengagih barang keperluan asas.


Pengarang :