AGENDANASIONAL

Paip pecah angkara pihak ketiga, Air Selangor buat kerja kecemasan

SHAH ALAM, 26 JAN: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) membuat kerja kecemasan bagi pembaikan paip pecah di Seksyen 15 dekat sini mulai jam 3 petang ini.

Insiden berpunca daripada pembangunan jalan berdekatan Lebuhraya Persekutuan oleh pihak ketiga semalam turut menjejaskan bekalan air di 142 kawasan di Petaling dan Klang.

“Kerja pembaikan ini dijangka siap jam 3 pagi, 27 Januari dan bekalan air akan disalurkan secara berperingkat kepada premis pengguna terkesan,” kata syarikat itu dalam kenyataan.

“Tempoh pemulihan bekalan air kepada pengguna adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis.”

Menurut syarikat itu, bantuan alternatif melalui lori tangki digerakkan ke kawasan terjejas yang mengutamakan premis kritikal sepanjang tempoh gangguan tidak berjadual.

“Air Selangor ingin memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori tangki,” katanya.

Maklumat terkini dimaklumkan melalui semua saluran komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Instagram, Twitter dan laman sesawang www.airselangor.com.

Senarai kawasan yang menerima air berperingkat-peringkat selepas bekalan distabilkan dimuatkan di Facebook syarikat berkenaan.


Pengarang :