Juruteknik Prima Air Faizal Mohamad (kanan) menerangkan kepada pengunjung fungsi peralatan di dalam kapal terbang ketika Pameran Udara Selangor (SAS) 2021 di Pusat Penerbangan Serantau Skypark, Subang pada 27 November 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pameran Udara Selangor 2022 dijangka terima lebih banyak penyertaaan

PETALING JAYA, 28 JAN: Pameran Udara Selangor (SAS) yang dijadual berlangsung dari 8 hingga 10 September tahun ini dijangka lebih meriah berbanding 2021.

EXCO pelaburan berkata pihaknya merancang menambah pengisian aktiviti termasuk pertunjukan pesawat di udara bagi menarik kunjungan ramai khususnya penggiat industri.

“Tahun lalu kita sudah ada pengalaman, jadi kali ini kita akan melipat ganda usaha untuk menjadikan SAS sebagai program yang mampu menarik minat orang ramai.

“Bukan hanya dari segi jumlah pempamer dan pelawat, tetapi besar kemungkinan kita akan membuat demonstrasi penerbangan di udara serta tidak sekadar melihat (pesawat) secara statik,” kata Dato’ Teng Chang Khim.

EXCO Pelaburan Perdagangan dan Perindustrian Dato’ Teng Chang Khim (dua kanan) beramah mesra bersama sebahagian pemain industri yang hadir pada program Business Aviation & General Aviation (BAGA) Townhall di Petaling Jaya Hilton pada 27 Januari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Beliau bercakap kepada media selepas sesi pendengaran awam penerbangan perniagaan dan penerbangaan am di Hotel Hilton dekat sini semalam.

Chang Khim turut menjangkakan lebih banyak negara terbabit dalam edisi kedua penganjuran di Pusat Penerbangan Serantau SkyPark, Subang antaranya Sepanyol, China, United Kingdom, Jepun dan Korea.

“Tahun lepas sebanyak lapan negara terlibat. Sudah tentu kali ini lebih banyak lagi negara akan mengambil bahagian dan kita sememangnya mengharapkan penglibatan mereka,” katanya.

Belanjawan Selangor 2022 dibentangkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memperuntukkan RM5 juta bagi penganjuran SAS secara besar-besaran.

SAS 2021 berlangsung akhir November lalu menerima penyertaan 43 syarikat tempatan dan antarabangsa.

Acara tersebut turut menampilkan pemain industri terkemuka seperti Aerodyne Geospatial Sdn Bhd, Turkish Aerospace Industry dan Global Turbine Asia Sdn Bhd.

Antara pesawat dipamerkan ialah Embraer, Gokbey, Piaggio Avanti, Beechcraft King Air, Cessna 206 dan Bell 407GX.


Pengarang :