Ashikin Abu Bakar menggunakan aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) ketika tinjauan Media Selangor di Seksyen 19, Shah Alam pada 10 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Parkir secara digital bantu pengguna elak dikompaun

SHAH ALAM, 11 JAN: Penggunaan aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) memudahkan pengguna berikutan mengurangkan potensi dikenakan kompaun.

Peniaga, Ashikin Abu Bakar, 41, berkata beliau telah menggunakan e-kupon sejak tahun lalu dan aplikasi itu memudahkannya memeriksa tempoh bayaran.

Ashikin Abu Bakar, 41. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Berbanding kupon parkir kertas gores, kadang kala kita tidak pasti tempoh waktu tetapi dengan aplikasi ini boleh lihat dan tambah dengan mudah sekali gus mengurangkan potensi dikompaun,” katanya kepada SelangorKini.

Jurujual yang mahu dikenali sebagai Keong, 45, berkata beliau kini sedang menghabiskan semua kupon parkir gores yang dibelinya.

“Saya perlu guna kupon parkir gores dalam kuantiti banyak bagi memudahkan urusan harian kerana pekerjaan memerlukan berjumpa ramai orang.

Keong, 45. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Pelaksanaan e-kupon amat bagus kerana memudahkan dan tidak perlu ke kedai mencarinya dan kini saya menghabiskan kupon sedia ada supaya tidak perlu membuat tebusan,” katanya.

Kerajaan Selangor memansuhkan penggunaan kupon parkir kertas gores dan menguatkuasakan e-kupon melalui aplikasi SSP, yang boleh dimuat turun di App Store atau Google Play Store.

Setakat ini, orang ramai masih dibenar menggunakan kupon parkir bergores di seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini sehingga hujung Mac bagi membolehkan mereka menghabiskan stok sedia ada.

Kupon parkir itu yang tidak habis digunakan boleh ditebus di pejabat PBT selepas Mac nanti.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi talian 1-700-81-9612, atau e-mel [email protected] .


Pengarang :