Mangsa banjir membersihkan rumah dan membuang barangan rosak akibat banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada 25 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pascabanjir: Buang sampah domestik, elak kencing tikus

PUTRAJAYA, 2 JAN: Orang ramai yang terkesan banjir diminta mengurus dan membuang sampah domestik masing-masing dengan sempurna bagi mengelakkan penyakit yang berpunca daripada kencing tikus.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata orang ramai juga perlu membuang sampah dengan lebih kerap supaya sampah tidak hanyut dibawa arus apabila banjir berulang.

“Ini kerana orang ramai perlu bersiap siaga untuk menghadapi gelombang banjir kedua dan apabila bencana itu berlaku, ia akan menjejaskan sampah-sampah yang disimpan di dalam rumah serta munculnya penyakit lain berkaitan banjir,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Selain itu, Mohammad Hamdan juga meminta orang ramai supaya menyediakan keperluan penting sebelum berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

“Jika terpaksa berpindah ke PPS, orang ramai diminta segera mengambil peralatan dan dokumen-dokumen penting seperti barang kemas, sijil nikah dan sebagainya atau mewujudkan satu pusat penyimpanan dokumen supaya senang untuk ambil dan meninggalkan rumah dalam keadaan selamat serta dikunci.

“Jika mereka enggan berpindah, mereka diminta menyediakan peralatan asas dan bekalan makanan yang mencukupi,” katanya dengan menambah orang ramai dinasihat segera ke tempat selamat jika paras air semakin meningkat.

Katanya orang ramai juga boleh menghubungi talian MERS 999, balai polis atau balai bomba berhampiran untuk melaporkan situasi banjir yang berlaku di sekeliling mereka.

– BERNAMA


Pengarang :