Kerja pembersihan pasca banjir oleh KDEB Waste Management (KDEBWM) ketika tinjauan di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 3 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pascabanjir: Operasi bersih sampah jangka selesai hujung Januari

SHAH ALAM, 7 JAN: Kerajaan Negeri menjangkakan operasi pembersihan pasca banjir di Selangor selesai sepenuhnya hujung Januari ini.

Dato’ Menteri Besar berkata setakat ini operasi pembersihan berada pada fasa pertama dan dijangka beralih ke fasa kedua pada 14 Januari depan.

“Kita sasarkan dua minggu pembersihan untuk fasa pertama dan berjaya dicapai walaupun mungkin terlebih waktu, tetapi secara asasnya berjaya diselesaikan.

“Semua sampah di depan rumah dan taman dikeluarkan sepenuhnya, cuma dari semasa ke semasa ada beberapa hal timbul antaranya mangsa pulang lewat ke rumah dan membersihkan, jadi ada tinggalan sampah,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui pada sidang media khas situasi banjir di bilik mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Beliau berkata fasa kedua operasi pembersihan memfokuskan kutipan sisa banjir dan membersihkan longkang yang diuruskan KDEB Waste Management.

“Fasa kedua menjurus kepada tinggalan-tinggalan sebab ada sebahagian yang menyewa lori daripada syarikat swasta mengambil jalan pintas membuangnya di tepi jalan. Kita dapati banyak kes berlaku dan itu proses fasa kedua,” katanya.


Pengarang :