Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor Saipolyazan M Yusop (kiri) melihat keadaan rumah yang rosak akibat banjir di Kampung Bukit Lanchong, Shah Alam pada 11 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Pascabanjir: Zakat Selangor bina semula 32 rumah, anggaran kos RM93,000 seunit

SHAH ALAM, 12 JAN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) bercadang membina semula 32 rumah asnaf fakir dan miskin yang terjejas banjir bulan lalu manakala 150 rumah lagi dibaik pulih.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Saipolyazan M Yusop berkata kos pembinaan setiap rumah dianggar mencecah RM93,000 manakala maksimum RM31,500 untuk baik pulih kediaman mengikut jenis kerosakan.

Menurutnya kerja membina semula dan membaik pulih rumah dilakukan selepas proses bancian dan semakan kelayakan yang dijangka selesai pada Februari ini.

“Buat sementara waktu, mangsa terjejas ditempatkan di rumah sewa yang dibiayai sepenuhnya oleh LZS supaya mereka boleh meneruskan kehidupan sehingga kerja pembinaan dan pembaikan selesai.

“Insya-Allah, program bantuan seperti ini berterusan sehingga akhir tahun. Kita bekerjasama dengan Kerajaan Negeri serta jawatankuasa bencana untuk mengesan mereka memerlukan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas turun padang bagi program bancian dan semakan kelayakan di Kampung Bukit Lanchong dekat sini.

Mengulas keadaan rumah di Kampung Bukit Lanchong, Saipolyazan berkata sebanyak 75 rumah di kawasan terbabit dikenal pasti Penolong Amil Kariah dalam program berkenaan meliputi 25 asnaf dan selebihnya bukan asnaf.

“Aktiviti turun padang merupakan serampang dua mata bagi memastikan keluarga bukan asnaf yang dikenal pasti dapat dibanci.

“Keluarga terbabit akan didaftarkan sebagai asnaf fakir dan miskin sekiranya layak serta memenuhi had kifayah. Jika sebaliknya, kita akan serah maklumat mereka kepada agensi lain untuk tindakan,” katanya.

 


Pengarang :