Pekerja sambilan Rajeli Nusi dan Azmir Shah Juhmadie berlatih tarian singa di hadapan Tokong Ching San Yen di Muara Tebas, Kuching menjelang sambutan Tahun Baru Cina pada 1 Februari 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pasukan tarian singa, naga gembira kembali beraksi lepas dua tahun

GEORGE TOWN, 29 JAN: Selepas hampir dua tahun tidak beraksi berikutan pandemik Covid-19, pengumuman kerajaan membenarkan tarian singa dan naga diadakan sempena Tahun Baharu Cina kali ini melegakan penggiat tarian tradisional itu.

Ketua tarian singa dan naga Persatuan Kebudayaan dan Sukan Thang Loong, Tan Jeong Bao berkata pasukannya yang dianggotai 80 orang berusia 10 hingga 50 tahun, sangat gembira apabila dimaklumkan tarian berkenaan dapat dipersembahkan kepada orang ramai tahun ini dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

“Setiap ahli pasukan nampaknya tidak sabar serta bersiap sedia untuk kembali memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina dan menghiburkan orang ramai.

“Walaupun tempahan untuk pasukan kami mengadakan tarian singa tidak sebanyak dahulu, namun kami semua tetap akan melakukan persembahan terbaik untuk orang ramai, malah sebenarnya kami gembira dapat beraksi semula,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata tempahan yang diterimanya berkurangan sehingga 50 peratus berbanding sebelum ini kerana ada pihak berasa bimbang sekiranya kebenaran itu ditarik balik.

Tan berkata pasukannya telah mengadakan latihan sejak tiga bulan lepas dan mereka akan menjalani saringan Covid-19 terlebih dahulu bagi tujuan keselamatan serta membendung penularan wabak itu.

Selain itu katanya hanya ahli pasukan berusia 18 tahun ke atas dan telah lengkap divaksin sahaja yang boleh mengadakan persembahan.

Kerajaan baru-baru ini mengumumkan anggota masyarakat yang akan menyambut perayaan Tahun Baharu Cina pada 1 Februari ini dibenarkan mengadakan jamuan makan besar bersama ahli keluarga terdekat pada malam 31 Januari.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique dilaporkan berkata persembahan tarian singa, tarian naga dan tarian harimau juga dibenarkan dan tertakluk pada SOP Industri Kreatif (Persembahan Langsung) Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

-BERNAMA


Pengarang :