Tangkap layar video yang tular mengenai kenderaan dikompaun MPSepang di kawasan lapang hadapan bengkel Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang pada 30 Disember 2021.
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PBT jelaskan video tular, tidak kompaun kereta sahih ditenggelami banjir

SHAH ALAM, 3 JAN: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) tidak akan mengenakan kompaun kepada kenderaan yang pernah ditenggelami banjir, jelas yang dipertuanya.

“Sekiranya pihak MPSepang dimaklumkan berkenaan dengan status kenderaan tersebut, sudah tentu pihak majlis akan menggunakan budi bicara bagi membantu penempatan kenderaan yang terlibat dengan banjir dan tiada sebarang tindakan akan dikenakan kepada pemilik kenderaan,” kata Dato’ Abd Hamid Hussain.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut tidak mengenakan kompaun kepada sebuah kereta yang berlumpur dan disyaki ditenggelami air bah tetapi mengambil tindakan terhadap sejumlah yang lain.

“Kompaun dikeluarkan kepada 51 kenderaan tersebut kecuali sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi berwarna putih dengan nombor pendaftaran kenderaan RAE 3675 kerana dikenal pasti berlumpur dan disyaki kesan daripada banjir,” kata Abd Hamid dalam kenyataan petang ini.

Pada 30 Disember, tersebar sebuah video selama kira-kira dua minit yang mendakwa MPSepang mengenakan kompaun ke atas kenderaan yang diletakkan di kawasan lapang depan bengkel di Bandar Baru Salak Tinggi.

Jelas Abd Hamid kompaun dikenakan adalah sah dan mengikut undang-undang selain bengkel itu sebelum ini bersetuju membayar caj parkir.

“Bagaimanapun bayaran tidak dijelaskan. Kawasan terbabit pernah dijadikan tempat letak kenderaan buruk serta terbiar dan tindakan penundaan diambil.

“Keadaan yang sama masih berulang maka penguatkuasaan diambil terhadap pihak berkenaan. Kawasan ini tidak terlibat bencana banjir dan MPSepang berharap lokasi ini tidak dijadikan tempat longgokan kereta rosak dan terbiar,” katanya.

Abd Hamid berkata pihaknya mengeluarkan semua saman berkenaan pada 28 Disember di kawasan lapang Medan 120, Bandar Baru Salak Tinggi.

 


Pengarang :