Beberapa kedai telah memulakan operasi setelah dilanda banjir ketika tinjauan di Taman Sri Muda Seksyen 25, Shah Alam pada 3 Januari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Pekerja kilang hilang punca pendapatan lega dapat bantuan RM1,000

SHAH ALAM, 9 JAN: Seorang pekerja kilang mengakui bantuan RM1,000 dari Kerajaan Selangor dapat menampung perbelanjaan harian berikutan tempat kerjanya masih belum beroperasi kerana rosak akibat banjir.

Mohd Amir Kahar, 27, berasal dari Sabah berkata sebelum ini dia bergantung dengan gaji harian dan apabila kilang ditutup menyebabkan dia hilang punca pendapatan.

Pekerja kilang, Mohd Amir Kahar, 27

“Alhamdullilah walaupun saya orang Sabah dapat juga bantuan RM1,000 dari Kerajaan Selangor. Saya amat berterima kasih dengan bantuan ini.

“Kalau saya tak dapat bantuan ini saya betul-betul dalam kesusahan kerana kilang saya bekerja masih belum lagi dibuka dan bantuan saya terima ini untuk saya beli makanan keperluan,” katanya ketika ditemui ketika program Bazaar Pakaian Percuma di Kuil Sri Maha Mariamman, Taman Sri Muda di sini.

Sementara itu, pengurus kedai alatan memancing, MK Wong, 38, berkata pengecualian bayaran bil air yang diberikan Kerajaan Selangor memberi penjimatan ratusan ringgit buat dirinya.

“Nak cuci rumah yang dilanda banjir bukan mudah kerana ada kesan lumpur yang memerlukan penggunaan air yang banyak.

Pengurus Sport Line Pro Fishing Shop, MK Wong, 38

“Rumah teres setingkat saya sendiri tenggelam jadi memang perlukan penggunaan air yang banyak untuk mencuci rumah,” katanya.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memberikan pengecualian bayaran bil air bagi bulan Januari 2022 kepada pengguna akaun Domestik (Kod Tarif 10) di Selangor dan Kuala Lumpur yang terkesan akibat bencana banjir baru-baru ini.

Air Selangor dalam kenyataan memaklumkan pengecualian tersebut merupakan sebahagian daripada Program Bantuan Selangor Bangkit (BSB) diumumkan Kerajaan Negeri Selangor.


Pengarang :