AGENDANASIONAL

Pekerja penyelenggara maut terjatuh di ruang lif pusat beli-belah

KUALA LUMPUR, 29 JAN: Seorang lelaki ditemukan maut akibat terjatuh di ruangan lif di sebuah pusat membeli belah di Jalan Loke Yew, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur berkata lelaki berumur 33 tahun yang merupakan pekerja penyelenggara bangunan berkenaan, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian selepas mendapat panggilan pada kira-kira pukul 11 pagi, mendapati seorang lelaki dewasa berada di tingkat bawah (B2) dalam ruangan lif pusat membeli belah itu, dan berdasarkan maklumat, lelaki itu dipercayai terjatuh dari tingkat empat,” katanya dalam kenyataan.

Katanya pasukan penyelamat menggunakan basket stretcher dan tali untuk menarik dan mengeluarkan mayat daripada lubang ruang lif berkenaan yang dianggarkan sedalam enam kaki dari pintu lif.

Mayat kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

-BERNAMA

 


Pengarang :