Pelajar Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) sedang membaiki perkakas elektrik mangsa banjir di Dewab Azalea, Taman Sri Muda. Foto STDC
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pelajar pusat teknikal negeri baik pulih 90 peratus perkakas elektrik mangsa banjir

SHAH ALAM, 2 JAN: Kumpulan khidmat teknikal elektrikal Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) berjaya membaik pulih 90 peratus barangan elektrik mangsa banjir yang rosak.

Ketua eksekutifnya berkata kerja penyelenggaraan bermula 27 Disember hingga semalam meliputi soket alir keluar, suis lampu, kipas, perkakas elektrik mudah alih dan kotak fius agihan.

“Kumpulan bantuan ini mendapat kepercayaan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk bersama membaiki perkakas elektrik penduduk yang rosak di Dewan Azalea, Taman Sri Muda di sini.

Kumpulan pelajar Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) yang terlibat membaik pulih barangan elektrik mangsa banjir di Dewan Azalea, Taman Sri Muda. Foto STDC

“Perkhidmatan percuma turut dijalankan dari rumah ke rumah berdekatan bagi barangan elektronik yang tidak boleh dibawa ke dewan terbabit,” kata Mohd Asyraf Amin ketika dihubungi Selangorkini.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya turut menubuhkan pasukan sukarelawan terdiri kakitangan dan pelajar bagi membantu masyarakat di Selangor yang terkesan dengan bencana dua minggu lepas.

“Sukarelawan ini menjalankan aktiviti pembersihan, mengemas rumah dan memberi sumbangan barangan kepada mangsa terlibat sekitar Kuala Selangor,” katanya.


Pengarang :