Pelajar teknologi automotif Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) memeriksa keseluruhan kereta yang ditenggelami air banjir termasuk pendawaian secara teliti
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Pelajar STDC uji kemahiran, baiki kereta tenggelam bah secara percuma

Foto FIKRI YUSOF

SHAH ALAM, 14 JAN: Satu persatu skru ditanggal, komponen kereta turut dibuka sebelum dipasang semula. Kira-kira lima jam dihabiskan untuk memeriksa sesebuah kenderaan.

Pelajar teknologi automotif Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) sedar kerja itu perlu dibuat teliti. Sedikit silap boleh mengundang risiko kerugian bukan sedikit.

Walau berlengas tubuh, lenguh tangan memutar spanar, itu antara cabaran yang dihadapi ketika mereka membantu mangsa banjir besar pada 18 dan 19 Disember tahun lalu. Lebih-lebih lagi, kenderaan itu ada yang langsung tenggelam, sesetengah lagi likat berlumpur.

Kerja mereka dipantau Pegawai Pengesah Dalaman STDC Sektor Teknologi Automotif, Faizal Azmi. Sekalipun perkhidmatan mereka percuma, beliau mahu memastikan pembaikan itu sempurna.

Pelajar teknologi automotif Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) memeriksa bahagian dalam kenderaan yang rosak akibat banjir besar pada Disember 2021

Sebagai satu-satunya institusi pendidikan kemahiran bawah Kerajaan Selangor yang menumpukan bidang teknikal (TVET), STDC sejak 5 Januari turut menghulur bantuan tenaga dan kepakaran bagi meringankan beban mangsa bencana.

Berlumpur

Namun, pemilik perlu membersihkan kereta terlebih dahulu terutama lumpur sebelum pemeriksaan. Keadaan kering dapat menentukan pendawaian rosak atau sebaliknya.

“Biasanya kita tanya mangsa berapa paras air banjir, panel bateri dibuka atau tidak. Ia memudahkan kita mendapat gambaran awal sebelum diperiksa lebih teliti untuk kenal pasti kerosakan.

“Ya, kita ambil masa yang lama. Pemeriksaan bukan sekadar enjin tetapi keseluruhan kereta termasuk pendawaian. Sebab itu, dalam sehari hanya dua kereta sahaja kita mampu periksa,” kata Faizal.

Pemeriksaan bertujuan membantu pemilik mendapat gambaran jelas tahap kerosakan. Ia meliputi tiga skop utama iaitu ruang enjin, ruang penumpang dan keadaan kenderaan termasuk minyak pelincir, kotak gear, cecair, brek, stereng serta unit kawalan elektronik (ECU).

Selain khidmat nasihat, pelajar STDC turut membaiki kereta tanpa bayaran. Sekalipun bilangan kereta yang dibaiki hanya sembilan setakat 11 Januari, mereka sedia memberi perkhidmatan tersebut tanpa menetapkan tempoh masa.

“Kita ada kekangan tenaga kerja kerana terdapat 12 pelajar sahaja. Mereka dibahagi kepada dua kumpulan. Setiap kumpulan bergilir-gilir hari.

“Lagipun kita baru sahaja bermula. Jadi selepas ini, kita akan cuba bantu bersihkan kereta mangsa yang dipenuhi lumpur,” kata Faizal.

C Poobalan, 20, mengakui teruja dapat membantu mangsa banjir. Namun, anak muda dari Bestari Jaya, Kuala Selangor itu mengakui bukan mudah bekerja di lokasi sisa banjir berbanding di bengkel.

Pelajar Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) memeriksa bahagian enjin kenderaan yang rosak setelah ditenggelami air

“Ruang sempit, hendak periksa agak kelam-kabut. Kerja tidak susah tetapi keadaan sekeliling beri cabaran kerana perlu dilakukan berhati-hati.

“Sejujurnya, ini pengalaman berharga kerana dapat berdepan situasi sebenar. Pada masa sama, saya dapat membantu mangsa banjir,” kata pelajar semester satu STDC.

Riak harapan

Muhammad Fariz Zainal Fitri, 20, yang baru dua bulan belajar di STDC mengakui gementar untuk membaiki kenderaan mangsa banjir. Bimbang berbuat silap, lebih-lebih riak wajah pemilik kenderaan yang begitu mengharapkan kesempurnaan. Namun, keyakinannya bernyala melalui bimbingan tenaga pengajar.

“Perkara yang susah sebenarnya adalah masa. Kena periksa satu persatu. Kalau tidak dapat kesan, jadi sia-sia kerana mungkin yang kita terlepas itu boleh menyebabkan kerosakan berulang pada bahagian tertentu yang telah dibaiki,” katanya.

Muhammad Mas Idham Mahamad, 18, agak terkejut dengan kepercayaan mangsa terhadap pelajar STDC. Ini seterusnya memberi keyakinan untuk memberi khidmat terbaik.

“Kami semua baru dua bulan belajar tetapi mereka percaya walaupun kami tidak ada pengalaman. Mereka cerita masalah kereta mereka, apa yang rosak. Ini beri kami lebih semangat untuk membantu mereka,” katanya.

Selain kenderaan, STDC melalui kumpulan khidmat teknikal elektrikal bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Shah Alam untuk membaik pulih barangan elektrik mangsa bencana yang rosak.

Sebanyak 90 peratus barangan elektrik diselenggara antaranya soket alir keluar, suis lampu, kipas, perkakas mudah alih dan kotak fius agihan antara 27 Disember hingga 1 Januari lalu.

 


Pengarang :