Selangorkini
Pian Cecupak meninggal dunia pada malam 26 Januari 2022 di Flat Sentul Murni, Taman Datuk Senu, Sentul. Foto BERNAMA.COM
AGENDA NASIONAL

Pelawak Pian Cecupak meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 27 JAN: Pelawak Pian Cecupak atau nama sebenarnya Mohd Rafik Abdul Raman, 52, meninggal dunia pada 11 malam tadi di kediaman ibunya di Flat Sentul Murni, Taman Datuk Senu, Sentul di sini.

Berita pemergian pelawak berkenaan disahkan oleh adiknya Hasnah ketika dihubungi Bernama malam tadi.

“Allahyarham jatuh di dalam bilik air. Jenazah akan dikebumikan sebelum solat zuhur esok (hari ini),” katanya.

Sementara itu, pemergian arwah turut dikongsi anak saudaranya Syuhada Daud di laman Facebooknya.

“Kehilangan sebuah permata berharga dalam keluarga. Penghibur kami sekeluarga. Tenanglah pakcik, doakan moga arwah ditempatkan dalam golongan beriman dan beramal soleh.

“Tugasmu di dunia sudah selesai, selamat pulang ke negeri abadi. Kami pasti merindui jenakamu, kami pasti menyusul,” katanya.

Pada 2018, Allahyarham dilaporkan dinasihatkan oleh doktor untuk melakukan pembedahan kerana masalah jantung yang dihadapinya amat serius.

-BERNAMA

 


Pengarang :