BUDAYARENCANA

Pembaca yang tidak ingin menjadi hamba pengarang

Oleh Wan Nor Azriq

Ilustrasi FAHMI MUSTAFFA

 

SAYA kenal nama awak, saya boleh baca tulisan awak tanpa diberitahu siapa pengarangnya, saya boleh hidu emosi awak di setiap baris, setiap perenggan, setiap kata, dan setiap noktah, seperti Magneto boleh menghidu bau tulang Wolverine dari berbatu jaraknya, dan saya boleh cam nada rungutan, nada kebencian, nada cemburu awak, walaupun saya dikurung di dalam peti besi, atau direjam ke dalam tong air Houdini, atau ditanam bersama Dracula di bawah istananya, dan sudah tentu, saya boleh menjangka muslihat kepengarangan awak, saya boleh mengeringkan simpati awak sebelum air mata awak sempat menitis ke kertas atau papan kekunci, saya boleh menepis retorik awak seperti Lin Dan boleh menepis bulu tangkis Lee Chong Wei, saya boleh merungkai permainan alegori awak seolah-olah ia hanya bayang-bayang suram pada dinding gua Plato, dan dengan sangat mudah, saya boleh meludah keluar apa-apa metafora bungkam dan tawar yang awak ingin sumbat masuk ke dalam tekak pembaca-pembaca awak yang sebenarnya jauh lebih bijak dan matang daripada awak sangka.

Masa telah mengubah hubungan awak dan saya. Dulu awak bapa dan saya anak. Dulu awak guru dan saya murid. Dulu awak gunung dan saya sungai. Dulu awak api dan saya lalang. Dulu awak pimpin dan saya ikut. Dulu awak marah dan saya takut. Dulu awak berjuang dan saya berkorban. Dulu awak mulut dan saya telinga. Dulu awak makna dan saya pembayang. Dulu awak pujangga dan saya jelata.

Masa telah mengubah hubungan awak dan saya. Awak masih tua dan saya sudah dewasa. Awak masih berjalan dan saya sudah berlari. Awak masih mendengar black metal dan saya sudah mendengar Blackpink. Awak masih mengira jumlah jualan buku dan saya sudah mengira jumlah bacaan buku. Awak masih mengejar nama dan saya sudah membina nama. Awak masih menjual kata-kata dan saya sudah membeli fakta. Awak masih bermain emosi dan saya sudah menempa pengalaman. Awak masih di Malaysia dan saya sudah di merata dunia. Awak masih ingin membina khalayak dan saya sudah mencipta khalayak.

Gaya orang tua

Tulisan awak banyak, tapi tidak ada satu pun saya ingat. Tulisan awak mengikuti perkembangan isu semasa, tapi esoknya sudah basi dan boleh dibakul sampah bersama nasi lemak dan tulang ayam. Tulisan awak terbit di akhbar arus perdana, tapi hanya pak cik dan mak cik di kampung yang masih membaca akhbar. Tulisan awak terbit di syarikat penerbitan orang muda, tapi gaya penceritaan awak ialah gaya penceritaan orang tua. Tulisan awak ingin berfalsafah, tapi awak hanya sentuh di permukaan ideanya ibarat budak tadika yang baru nak belajar ikat kasut dan pakai sarung kaki. Tulisan awak menjerit dan meronta-ronta minta dipandang serius seolah-olah setiap kata-kata adalah ramalan akhir zaman, tapi suara yang membersit keluar daripada teks awak tidak lebih daripada bayang-bayang dan sisa kegeniusan pengarang muda lain yang lebih berbakat.

Awak cipta saya, saya cipta awak, kata Batman dalam filem Tim Burton pada tahun 1990. Tapi awak tidak pernah mencipta saya, walaupun segila mana dan sehebat mana pun angan-angan dalam kepala awak itu, percayalah, awak tidak mungkin mampu mencipta seorang pembaca seperti saya. Ketika awak baru nak mencari pemadam, saya sudah boleh membuat semua tulisan awak terpadam dengan sendirinya. Ketika awak baru bangun tidur pada waktu pagi, saya sudah boleh mentafsir sambil menguap semua isi kandungan mimpi awak semalam. Ketika awak baru merangkak-rangkak nak membaca Haruki Murakami, saya sudah belajar bahasa Jepun dan ulang membaca semua novel Murakami lebih daripada lima kali. Ketika awak baru nak belajar memahami nombor Fibonacci, saya sudah cipta roket di belakang rumah dan terbang ke bulan pergi dan balik. Ketika awak baru nak acah-acah petik gitar, saya sudah cipta 100 buah lagu untuk Teddy Park.

Awak bukan Sasterawan Negara, awak bukan Chairil Anwar, awak bukan A. Samad Said, awak bukan pewaris ASAS 50, awak bukan pemusnah ASAS 50, awak bukan seorang revolusi, awak bukan seorang pengkritik sosial, awak bukan seorang pemikir masyarakat, awak bukan cendekiawan meja kopi, awak bukan Kurt Cobain, awak bukan seniman garda depan, awak bukan George Orwell, awak bukan Bob Dylan, awak bukan Isaac Asimov, awak bukan Malcom X, awak bukan Muhammad Ali, awak bukan bekas banduan, awak bukan golongan tertindas, awak bukan mangsa keadaan, awak bukan genius, awak bukan pencipta.

Awak hanya seorang pengarang. Sama seperti saya hanya seorang pembaca. Tapi ada satu kebenaran yang pasti dan tidak mungkin boleh diubah sehingga hari kiamat — saya bukan pembaca awak.


Pengarang :