Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Zamani Ahmad Mansor berucap ketika majlis Penyerahan Bantuan Mangsa Banjir Oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Wisma MBSA, Shah Alam pada 3 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Pembersihan pascabanjir Sri Muda dijangka selesai minggu ini

SHAH ALAM, 4 JAN: Kerja pembersihan pascabanjir di Taman Sri Muda di sini dijangka dapat diselesaikan sepenuhnya minggu ini.

Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Zamani Ahmad Mansor berkata setakat ini 11,919 tan sampah pukal telah dibawa keluar dari kawasan berkenaan.

“MBSA bersama KDEB Waste Management (KDEBWM) menguruskan sampah di kawasan banjir dan boleh dikatakan sebahagian kawasan telah mencapai 100 peratus.

“Namun di Taman Sri Muda kawasan yang terjejas adalah besar dan ketika ini sudah lebih 60 peratus diselesaikan. Insy-Allah kita cuba selesaikannya minggu ini juga,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima sumbangan dari Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menerusi Persatuan Bulan Sabit Merah di Wisma MBSA semalam.

Kerja pembersihan pascabanjir oleh KDEB Waste Management (KDEBWM) ketika tinjauan di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 3 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Zamani berharap mangsa banjir khususnya kawasan perindustrian dapat membuang sampah di stesen pemindahan sementara (TS) yang disediakan.

“Saya minta jangan buang di tepi jalan raya, di kawasan perumahan kerana kita sudah bersihkan tetapi perlu lakukannya berulang kali kerana masih ada yang buang keesokannya,” katanya.

Sehingga kini sebanyak 28,506 tan metrik sisa banjir dikutip di kawasan pentadbiran MBSA mulai hujung Disember hingga semalam.

Infografik dikongsi MBSA di Twitter menunjukkan sebanyak 12 dari 21 lokasi terjejas selesai dibersihkan dengan kutipan harian berjumlah 3,042 tan metrik.

Kerja pembersihan itu melibatkan 250 petugas pihak berkuasa tempatan berkenaan, 65 dari KDEBWM dan 45 sukarelawan menggunakan 207 lori serta 60 pengorek kaut.


Pengarang :