Kenderaan Komuniti MBSA yang disediakan secara percuma kepada orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas sekitar Shah Alam untuk mendapatkan rawatan di hospital serta pusat rawatan terpilih. Foto MBSA
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Pengangkutan percuma untuk OKU, warga emas ke pusat rawatan

SHAH ALAM, 13 JAN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyediakan pengangkutan percuma kepada pemegang kad orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas mendapatkan rawatan di lapan hospital serta pusat rawatan terpilih.

Ketua bahagian korporat dan perhubungan awam Shahrin Ahmad berkata kenderaan itu meliputi dua unit van diubah suai mengikut keperluan golongan OKU dan sebuah proton Exora untuk warga emas.

Menurutnya, penyediaan kenderaan komuniti merupakan tanggungjawab sosial korporat dan keprihatinan MBSA berikutan perkhidmatan pengangkutan kepada golongan terbabit terhad dan sukar didapati.

“Kenderaan ini dilengkapi dan disesuaikan untuk kegunaan OKU serta warga emas dengan kemudahan ‘tail lift’ yang boleh menampung seseorang berkerusi roda.

“Kenderaan komuniti ini boleh memuatkan dua penumpang dan seorang pemandu kerana ruang bahagian kenderaan dikosongkan serta dilengkapi ciri keselamatan seperti tali pinggang bagi memastikan kerusi roda tidak bergerak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrin berkata kenderaan itu beroperasi setiap Isnin hingga Jumaat bermula jam 8.30 pagi hingga 5 petang.

Menurutnya, tempahan pula boleh dibuat seminggu sebelum penggunaan perkhidmatan dengan menghubungi Seksyen Kemasyarakatan, Jabatan Pembangunan Komuniti MBSA di talian 03-55222732 atau 03-55105133 sambungan 1381.

Berikut lapan lokasi terpilih perkhidmatan kenderaan komuniti:

1. Hospital Shah Alam
2. Klinik Kesihatan Seksyen 7, Shah Alam
3. Klinik Kesihatan Seksyen 19, Shah Alam
4. Klinik Kesihatan Bukit Kuda, Klang
5. Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang
6. Hospital Besar Sungai Buloh
7. Klinik Kesihatan Sungai Buloh
8. Pusat Perubatan Universiti Malaya Petaling Jaya (PPUM)

 

Kenderaan komuniti yang disediakan secara percuma kepada orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas sekitar Shah Alam untuk mendapatkan rawatan di hospital serta pusat rawatan terpilih. Foto MBSA

Pengarang :