Air Selangor merupakan pembekal tunggal perkhidmatan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pengecualian bil air ringan beban mangsa banjir B40

SHAH ALAM, 7 JAN: Pengecualian bayaran bil air selama sebulan pada Januari amat bermakna buat mangsa banjir di negeri ini khususnya golongan berpendapatan rendah (B40).

Zuhainizam Ismail, 45, berkata walaupun dia dan isteri berkhidmat sebagai penjawat awam, namun inisiatif ditawar melalui Bantuan Selangor Bangkit (BSB) sekurang-kurangnya meringankan beban mereka serta mangsa lain kurang berkemampuan.

“Kami terima apa jua bentuk bantuan disalurkan, malah bersyukur kerana Kerajaan Selangor begitu prihatin dan memahami kesukaran dihadapi rakyat ketika ini.

Zuhainizam Ismail, 45. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI

“Kita tahu banjir besar baru-baru ini mengakibatkan ramai penduduk hilang harta benda. Jadi, inisiatif pengecualian bil air antara paling dinantikan, lebih-lebih lagi individu bekerja sendiri,” katanya ketika ditemui Selangorkini.

Bapa enam anak itu antara 10,000 penduduk Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini yang terjejas dalam tragedi pada 18 Disember tahun lalu sehingga mengalami kerugian lebih RM10,000.

Seorang lagi mangsa, Mohd Shahrul Nizam Hasan, 33, yang menetap di kawasan terbabit sejak tiga tahun lalu berkata wang RM60 dibelanjakan setiap bulan untuk bayaran bil air boleh digunakan bagi membeli barang dapur.

Mohd Shahrul Nizam Hasan, 33. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI

“Saya dan isteri seronok selepas dengar berita mengenai pengecualian tersebut. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana bantu kami yang pertama kali merasai pengalaman banjir seteruk ini.

“Walaupun hanya sebulan, paling tidak wang boleh digunakan untuk beli barang dapur memandangkan kehabisan banyak keperluan asas,” katanya.

Pada 31 Disember tahun lalu, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan akan memberi pengecualian bayaran bil bagi Januari kepada pelanggan akaun domestik Kod Tarif 10 di Selangor yang terkesan akibat bencana.

Pengecualian secara automatik tanpa perlu mengisi atau menghantar borang merupakan sebahagian daripada program BSB yang diumum Kerajaan Negeri.


Pengarang :