Pekerja KDEB Waste Management (KDEBWM) menjalankan kerja pembersihan pascabanjir di Taman Sri Nanding, Hulu Langat pada 2 Januari 2022. Foto Facebook KDEBWM
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Pengeluaran sisa bah selesai, MPKj bersihkan tiga stesen pemindahan

SHAH ALAM, 26 JAN: Tiga stesen pemindahan sementara (TS) bagi pengurusan sampah pukal bawah seliaan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dibersihkan sepenuhnya kelmarin.

Pembersihan di stesen Sungai Lui, Batu 14 dan Taman Sri Nanding dibuat setelah pengeluaran sisa banjir ke Tapak Pelupusan Sisa Lengai Misi Restu selesai, kata yang dipertuanya.

“MPKj juga membaik pulih tapak TS Taman Sri Nanding melibatkan pembaikan tanah, pembersihan longkang di kawasan sekitar dan membaiki pagar yang rosak,” kata Najmuddin Jemain pada mesyuarat bulanan secara maya hari ini.

Beliau berkata sebanyak RM294,000 diperuntuk bagi kerja kecemasan pembersihan pascabanjir manakala RM200,000 lagi untuk pelupusan sampah serta pemulihan tanah di Taman Sri Nanding.

Sementara pelupusan 21,928.23 tan sisa pukal banjir di Misi Restu Sdn Bhd bersama KDEB Waste Management pula melibatkan kos sebanyak RM566,573.13, katanya.

Kerajaan Selangor membuka 11 stesen pemindahan sampah pukal di empat pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mempercepat kerja pembersihan pascabanjir pada Disember tahun lalu.

Selain MPKj, PBT berkenaan ialah Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Perbandaran Sepang dan Majlis Bandaraya Subang Jaya.


Pengarang :