Transaksi tol menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) bagi kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) dilaksanakan di laluan Juru, Pulau Pinang hingga ke Skudai, Johor di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) bermula 10 malam pada 15 Januari 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pengguna boleh ganti pelekat RFID rosak secara percuma

KUALA LUMPUR, 19 JAN: Pengguna lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Berhad (PLUS) yang mengalami kerosakan pelekat sistem teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) akan menerima gantian pelekat itu secara percuma.

Ketua Perhubungan Libat Urus Strategik PLUS Syed Mohammed Idid Syed Ahmed Idid berkata ketika ini, petugas tambahan diletakkan di plaza tol bagi membantu mereka yang mengalami masalah dengan pelekat RFID mereka.

“Kita ada orang ‘standby’ (tunggu sedia) dengan peranti ‘hand held’ (pegang tangan), kalau RFID tidak dapat ‘detect’ (kesan), kita akan bantu beli satu kupon untuk pergi ke fitment (pusat pemasangan) Touch ‘n Go (TnG) yang terdekat untuk ‘check’ (periksa) RFID. Kalau waktu itu TnG masih tidak dapat ‘detect’, kita akan beri RFID ‘tag’ yang baharu secara percuma,” katanya kepada Bernama TV di sini hari ini.

Isnin lepas, media melaporkan beberapa plaza tol di Lembah Klang termasuk Plaza Tol Putra Mahkota dan Sungai Besi sesak teruk ekoran kegagalan RFID berfungsi pada waktu puncak ketika hujan.

Ini mengakibatkan ramai pengguna meluahkan rungutan dan PLUS telah mengambil tindakan penambahbaikan segera dengan menggandakan kehadiran petugas mereka di plaza tol selain meningkatkan keterlihatan papan tanda arah bagi pengenalan lorong RFID.

Dalam pada itu, Syed Mohammed Idid berkata pengguna lebuh raya tidak perlu bimbang kerana kaedah pembayaran menggunakan kad TnG dan Smartag masih terdapat di kebanyakan plaza tol di seluruh negara.

Beliau berkata projek perintis sistem RFID ini dilihat lebih menjimatkan kerana ia sifar penyenggaraan dan lebih selamat serta bayaran dihubungkan dengan akaun e-dompet yang boleh dibayar secara debit automatik.

Menjawab mengenai rungutan netizen mengenai harga pelekat RFID yang dikatakan tinggi, beliau berkata harga RM35 itu telah ditetapkan oleh pihak TnG.

Transaksi tol menggunakan teknologi RFID untuk kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) dilaksanakan di laluan Juru, Pulau Pinang hingga ke Skudai, Johor di Lebuhraya Utara-Selatan bermula 15 Jan lepas.

Sistem RFID membolehkan pengguna lebuh raya menikmati perjalanan lebih lancar tanpa perlu berhenti dan bergerak di lorong RFID dengan kelajuan 30 km/j serta membolehkan pengguna melaksanakan transaksi tol tanpa sentuh.

RFID juga menawarkan sekuriti tunai digital dan tambah nilai tanpa tunai melalui penggunaan e-dompet Touch ‘n Go tanpa perlu lagi mengunjungi kaunter tambah nilai,

-BERNAMA

 


Pengarang :