Muhammad Khairul Nizzam bin Mamat, 43, (kiri) membungkus nasi dagang yang ditempah oleh pelanggan ketika tinjauan di Persiaran Alam Perdana, Puncak Alam pada 11 Januari 2021. Foto BERNAMA
PBTSELANGOR

Peniaga nasi dagang tular cuba mohon tapak niaga MPKS

SHAH ALAM, 14 JAN: Bantuan pelbagai pihak termasuk individu dalam mendapatkan tapak menjaja baharu amat dihargai peniaga nasi dagang ikan tongkol di sini yang tular minggu ini.

Muhammad Khairul Nizam Mamat, 43, berkata beliau akan bermula berniaga di tapak baharu yang terletak lima kilometer (km) dari tapak asal di Persiaran Alam Perdana, esok.

Beliau turut menafikan perpindahan itu disebabkan tekanan daripada mana-mana pihak berkuasa, sebaliknya bagi menampung jumlah pembeli yang ramai sehingga mengganggu lalu lintas dan menyukarkan penjarakan fizikal.

“Tempat (baharu) ini adalah antara hasil bantuan orang ramai khususnya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Mohd Shaid Rosli yang banyak membantu kami memudahkan urusan,” jelas pemilik Nasi Dagang Adik Bradik Rezki Roda itu yang sedang mendapatkan lesen menjaja sementara daripada Majlis Pembandaran Kuala Selangor (MPKS) ketika ditemui Bernama hari ini.

Katanya, pihaknya kini juga dalam proses mendapatkan sebuah premis untuk dijadikan sebagai tempat memasak secara berpusat atau centralised kitchen bagi menampung jumlah permintaan yang semakin tinggi.

“Kami memang merancang untuk membuka sebuah kedai makan, tapi memandangkan keadaan pandemik yang masih belum reda ini, kami kena tunggu dulu dan tidak mahu ambil risiko yang cepat kerana masih baharu dalam dunia perniagaan,” katanya yang baru dua bulan berniaga.

Muhammad Khairul Nizam berkata beliau dan enam lagi adiknya sedang bertungkus lumus menghasilkan 60 kilogram (kg) nasi dagang bagi jualan esok dan Ahad, berbanding 50kg untuk jualan sebelum ini.

“Kami akan buka sekitar jam 7.30 pagi dan saya harap kita sama-sama termasuk mereka yang datang membeli menjaga tatacara operasi piawai (SOP) bagi keselamatan kita bersama,” katanya.

Sebelum ini video dokumentari berdurasi 10 minit memaparkan kisah perniagaan Muhammad Khairul Nizam menjual nasi dagang menggunakan motosikal beroda tiga tular menerusi Facebook sekali gus menjadikan dia tidak ‘menang tangan’ melayan pelanggan.

– BERNAMA


Pengarang :