Sijil suntikan vaksinasi palsu yang dikeluarkan oleh sebuah klinik swasta dirampas oleh polis pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu pada 10 Januari 2022. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Penjawat awam miliki sijil vaksin palsu berdepan tindakan

KUALA NERUS, 10 JAN: Kerajaan Negeri Terengganu akan memantau dan mengambil tindakan sekiranya terdapat penjawat awam negeri yang didapati memiliki sijil suntikan vaksin Covid-19 palsu.

Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Dr Alias Razak berkata pihaknya memandang serius isu berkaitan sijil vaksinasi palsu ini memandangkan ia melibatkan keselamatan dan kesihatan rakyat.

“Kita akan arahkan jabatan-jabatan kerajaan untuk memantau golongan yang terutamanya antivaksin satu hal, yang keduanya dia beli pula sijil vaksin palsu. Ini satu kesalahan yang serius dan perkara ini akan dipantau oleh jabatan-jabatan berkenaan, untuk pastikan perkara ini (pembelian sijil vaksin palsu) tidak berulang,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penahanan seorang doktor sebuah klinik swasta oleh pihak polis Terengganu di Marang pada Sabtu lepas, selepas disyaki mengeluarkan sijil suntikan vaksin Covid-19 palsu.

Dr Alias berkata kerajaan negeri juga menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memantau dan mengenal pasti sekiranya terdapat lagi pengamal perubatan di negeri ini yang terlibat dalam aktiviti pengeluaran sijil suntikan vaksin Covid-19 palsu.

Terdahulu, Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa dalam sidang media hari ini memberitahu doktor lelaki berusia 51 tahun itu ditahan di kliniknya dalam satu serbuan bersama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Terengganu, selepas menerima aduan awam mengenai kegiatan tersebut.

Rohaimi berkata siasatan awal mendapati seramai 1,900 individu berurusan dengan klinik tersebut bagi tujuan vaksinasi, dan daripada jumlah itu pihak polis masih menyiasat jumlah sebenar individu yang tidak mendapatkan suntikan, namun hanya mendapatkan sijil vaksinasi palsu.

-BERNAMA


Pengarang :