SHAH ALAM, 2 JAN: Musibah banjir melanda negeri ini menyaksikan kerjasama penjawat awam dan sukarelawan meringankan beban mangsa meskipun berdepan pelbagai cabaran.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata situasi itu menunjukkan kekuatan sebenar rakyat Malaysia, mengatasi perbezaan kaum.
“Kita menyaksikan kerjasama para penjawat awam bersama sukarelawan membantu mangsa banjir walaupun berhadapan pelbagai geruh yang tidak diduga.
“Pastinya ketika semangat memuncak mahu membantu, ada khilaf tertentu. Namun kita sedar, semua yang terlibat mahu segera menyelamatkan dan membantu mangsa,”katanya dalam perutusan Tahun Baharu 2022.

Menurut Amirudin, seramai 2,500 sukarelawan naungan Kerajaan Negeri seperti Sukarelawan Selangor (SERVE) dan Team Selangor turun padang membantu proses pembersihan pascabanjir.
Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu mengakibatkan banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.
Kerajaan Negeri pada 21 Disember mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit.
Peruntukan itu meliputi pemulihan infrastruktur, bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.
