Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin (tengah) bersama Naib Presiden Pemasaran Hiliran Petronas Ahmad Adly Alias (dua, kanan) ketika menerima sumbangan banjir gas LPG oleh Petronas di perkarangan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 6 Januari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Petronas sumbang 1,000 tong gas bernilai RM150,000 kepada mangsa banjir

SHAH ALAM, 6 JAN: Kerajaan Selangor menerima sumbangan 1,000 unit tong gas petroleum cecair (LPG) bernilai RM150,000 daripada Petroliam Nasional Berhad (Petronas) untuk diagih kepada keluarga mangsa banjir negeri ini.

Syarikat minyak dan gas nasional itu turut menyumbang alatan pembersihan bernilai RM1 juta kepada KDEB Waste Management (KDEBWM) bagi melancarkan kerja pencucian pascabanjir, menurut Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan tong gas akan diserahkan kepada mangsa terjejas bencana yang dikenal pasti mengikut daerah selewat-lewatnya minggu depan.

“Tumpuan diberikan kepada keluarga betul-betul memerlukan kerana kita dapati ada individu, agensi kerajaan negeri dan persekutuan serta badan bukan kerajaan (NGO) yang juga telah sampaikan sumbangan.

“Kta gembira atas sumbangan ini sekali gus dapat mengurangkan beban mangsa yang terjejas dengan bencana pada akhir Disember lalu,” katanya selepas menerima peralatan tersebut di perkarangan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Sementara itu, naib presiden pemasaran hiliran Petronas berkata sumbangan disalurkan adalah sebahagian daripada RM25 juta peruntukan untuk membantu mangsa bencana yang melanda beberapa kawasan di negara ini.

“Kerjasama dengan Kerajaan Negeri membolehkan sumbangan ini diagih secara lebih berkesan kepada isi rumah terjejas selain memudahkan perkhidmatan pembersihan di kawasan terjejas oleh KDEBWM,” kata Ahmad Adly Alias.

-tamat


Pengarang :