Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Datuk Mahmud Abas ketika sidang media taklimat perancangan PKNS 2022 di Bangunan Ibu Pejabat PKNS Seksyen 14, Shah Alam pada 26 Januari 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PKNS sasar pendapatan hartanah RM1.18 bilion, separuh libat jualan rumah

SHAH ALAM, 26 JAN:  Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyasarkan untuk mencapai jumlah jualan RM1.18 bilion tahun ini, termasuk RM584 juta jualan untuk rumah kediaman, disokong oleh prospek lebih baik pada 2022 dan menambah baik strategi pemasaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Mahmud Abbas berkata, ini akan melepasi jualan RM905 juta yang dicatatkan tahun lepas.

“Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, PKNS mencatatkan jualan kira-kira RM905 juta dalam situasi pandemik dan pasaran yang mencabar,” katanya pada taklimat tinjauan 2022 perbadanan itu di sini hari ini.

Beliau berkata PKNS bersedia membangunkan 12 projek baharu yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan RM690 juta pada tahun ini dan dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga tahun.

Mahmud berkata 12 projek itu terletak di Kota Puteri (empat projek), Bernam Jaya (tiga projek), Shah Alam (dua projek) dan masing-masing satu projek di Antara Gapi, Bangi dan Selangor Cyber Valley.

Beliau berkata projek itu terdiri daripada gabungan pembangunan kediaman mampu milik, sederhana hingga mewah dengan harga bermula daripada RM400,000 untuk unit bertingkat tinggi dan RM550,000 untuk rumah bertanah.

Mahmud berkata dengan keluasan bank tanah 2,416.79 hektar setakat 21 Januari tahun ini, PKNS melihat peluang untuk pertumbuhan dengan gabungan pembangunan yang sesuai bagi menyamai permintaan pasaran sedang pesat membangun.

“Komposisi bank tanah PKNS mewakili 44 peratus pembangunan komersial, 13 peratus kediaman dan 43 peratus campuran dengan kawasan terbesar secara strategik di sekitar pintu masuk ekonomi di Klang, Bernam Jaya dan Hulu Langat,” tambahnya.

— BERNAMA


Pengarang :