Usaha menyelamat mangsa banjir dijalankan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada 20 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pokok bonsai ditenggelami air, pengusaha rugi ratusan ribu dilanda bah

SEPANG, 4 JAN: Baru sahaja bangkit daripada kerugian hampir RM100,000 akibat banjir pada hujung Oktober lepas, seorang pengusaha nurseri diduga sekali lagi apabila banjir baru-baru ini menenggelamkan keseluruhan tapak perniagaannya dengan kerugian lebih RM200,000.

Bercakap kepada Bernama baru-baru ini, Lim Yeou Chaw, 34, yang mengusahakan Mr Garden Nursery & Landscape di sini sejak 2018 bersama ayahnya berkata, bencana kali ini amat teruk dan memusnahkan kesemua pokok dan peralatan pertanian serta dinding pejabatnya turut roboh.

“Pada Oktober banjir sebab hujan juga, tapi pokok bunga semua masih okey lagi. Sekarang semua rosak sebab pokok terendam dalam air selama enam hari, banjir tidak surut awal,” katanya yang berusaha memindahkan tanaman namun gagal sebab air naik terlalu cepat.

Antara tanaman yang terjejas ialah pokok hiasan jenis bonsai, anthurium dan cycas yang harganya mencecah ratusan ringgit selain pasu bunga dan input pertanian lain turut rosak.

Menurut Lim, beliau merancang untuk mencari kawasan baharu bagi memulakan perniagaannya semula namun tapak sedia ada (yang terkesan banjir) akan dibangunkan semula dalam skala kecil kerana bimbang dengan impak kerugian yang lebih besar.

Tapak nurseri berkenaan merupakan satu daripada tiga lot tanah di bawah kuasa Pusat Pertanian Labu Lanjut, yang terletak berhampiran pusat pertanian berkenaan. Pusat itu berfungsi sebagai pusat latihan bagi kursus tanaman seperti teknik fertigasi, pembajaan, penjagaan cendawan, selain menempatkan stor baja dan sebagainya.

Pegawai Pertanian Daerah Sepang Mohd Fadzli Mohamad Yaacob berkata pengusaha nurseri bersama dua lagi pengusaha kebun sayur-sayuran merupakan peserta projek pertanian di bawah Jabatan Pertanian yang menyewa tanah milik Jabatan Pertanian dengan kadar sewa tahunan.

Beliau berkata kawasan berkenaan memang sering kali dilanda banjir memandangkan lokasinya berhampiran Sungai Labu dan setiap peserta yang menyertai projek berkenaan turut dimaklumkan mengenai risiko banjir terlebih dahulu.

“Mereka (peserta) tahu risikonya, sebelum ini pun banjir tapi tidak seteruk kali ini. Semua tanaman seperti terung dan cili serta nurseri juga telah musnah dengan anggaran kerugian keseluruhan mencecah ratusan ribu ringgit.

“Mengenai bantuan bagi mereka, kita sudah mengambil maklumat berkaitan dan akan dimasukkan dalam senarai bantuan yang akan diberikan Jabatan Pertanian,” katanya.

Menurut Mohd Fadzli, premis pusat pertanian itu juga terkesan akibat banjir dengan air setinggi paras dada, selain merosakkan peralatan bagi kursus dan perabot dengan kerugian hampir RM30,000.

“Syukur, stor baja hampir kosong kerana stok telah diedarkan kepada petani pada awal Disember lepas. Kalau tidak mungkin kerugian kita lagi besar,” jelasnya.

Bencana banjir pada 18 Dis lepas juga merosakkan kuarters kakitangan Pusat Pertanian Labu Lanjut yang terletak bersebelahan pusat itu.

Selain Pusat Pertanian Labu Lanjut, beliau berkata Pusat Pertanian Dengkil yang menawarkan kursus industri asas tani berasaskan makanan juga terkesan akibat banjir namun peralatan di pusat berkenaan sempat dipindahkan ke tempat tinggi sebelum banjir teruk berlaku.

-BERNAMA


Pengarang :