Selangorkini
Hujan lebat dan ribut petir petang semalam mengakibatkan pokok tumbang di sekitar ibu negara. Foto Facebook BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Pokok tumbang sekitar ibu negara akibat hujan lebat, ribut petir

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Hujan lebat dan ribut petir semalam mengakibatkan kejadian pokok tumbang di lima kawasan di sekitar ibu negara namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur memaklumkan kawasan terlibat dalam kejadian 4 petang itu adalah berhampiran Sekolah Rendah Wangsa Jaya Seksyen 4 Wangsa Maju, Lebuhraya Karak sebelum Plaza Tol Gombak, Jejantas MRR2 Ampang, PSN Rejang Setapak Jaya dan Jalan Padang Tembak.

“Kejadian tersebut turut menyebabkan enam kenderaan rosak akibat dihempap pokok dan menghalang lalu lintas.

“Kerja-kerja memotong pokok di laluan tersebut selesai kira-kira 5.51 petang,” menurut kenyataan itu.

Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wangsa Maju, BBP Gombak Selatan, BBP Keramat dan BBP Setapak mengalihkan pokok tumbang di semua lokasi terjejas.

– BERNAMA


Pengarang :