AGENDAJENAYAH

Polis tangkap pemuda lempar kata kesat kepada penguat kuasa MPKS

SHAH ALAM, 6 JAN: Seorang lelaki yang dikatakan melakukan provokasi dengan melemparkan kata-kata kesat terhadap anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) pada Selasa ditahan polis malam tadi.

Ketua Polis Sungai Buloh Superintendan Shafa’aton Abu Bakar pemuda berusia 30 tahun itu ditahan di sebuah stesen minyak dekat Jalan Bidara 6/3, Saujana Utama jam 9 malam.

“Bertindak atas laporan yang diterima daripada anggota penguat kuasa MPKS semalam, polis berjaya membuat tangkapan terhadap seorang lelaki pada jam 9 malam,”katanya. dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Selasa lepas, tular satu rakaman video seorang anggota penguat kuasa MPKS sedang menjalankan tugas menyaman kenderaan yang menyalahi undang-undang dalam kawasan tugasan di Jalan Bidara 6/2 Saujana Utama diprovokasi oleh seorang lelaki.

Susulan insiden itu, anggota penguat kuasa berkenaan membuat laporan polis.

Setiausaha MPKS dalam kenyataan semalam memuji anggota penguat kuasa berkenaan kerana menjalankan tugas secara profesional serta tidak ambil peduli terhadap provokasi dihadapi.

Yusli Askandar berharap kejadian itu menjadi iktibar kepada semua.

Tangkap layar rakaman seorang anggota penguat kausa Majlis Perbandaran Kuala Selangor diprovok seorang lelaki ketika sedang bertugas. Foto Facebook MPKS

Pengarang :