Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan baucar Jom Shopping kepada peserta sempena perayaan Tahun Baharu Cina di Pusat Khidmat Rakyat DUN Sungai Tua, Gombak pada 23 Januari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PRN Johor susahkan rakyat, wajar tumpu bantu mangsa banjir

GOMBAK, 23 JAN: Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat Selangor (KEADILAN) menyifatkan permohonan Barisan Nasional untuk membubar Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hanya menyusahkan rakyat.

Dato’ Seri Amirudin Shari menegaskan pilihan raya negeri (PRN) tidak perlu dibuat tergesa-gesa sebaliknya usaha harus tertumpu kepada membantu mangsa banjir baru-baru ini selain golongan terjejas akibat wabak Covid-19.

“Selepas pandemik, Johor juga dilanda banjir. Kita perlu fokus itu, bukan politik. Saya rasa perbuatan ini (PRN) tidak perlu pada masa ini,” katanya selepas menyampaikan baucar Jom Shopping Tahun Baharu Cina kepada penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua.

Beliau juga mengingatkan wakil rakyat Pakatan Harapan (HARAPAN) Johor sanggup mengenepi perbezaan politik demi kepentingan rakyat dengan menyokong belanjawan negeri itu baru-baru ini.

“Kenapa tidak boleh sabar? Ini semua taktik politik mereka yang merancang untuk buat pilihan raya tiap bulan untuk tunjuk kononnya dapat sokongan,” kata Amirudin lagi.

Pada 17 Januari lalu, KEADILAN Selangor menyediakan sebanyak 1,000 bantuan makanan bagi membantu meringankan beban mangsa banjir di Johor. Sumbangan itu disampaikan  Amirudin Shari kepada Timbalan Pengerusi MPN KEADILAN Johor Jimmy Puah Wee Tse di Johor Bahru, Johor.

Semalam, Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad menghadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar bagi memohon pembubaran DUN negeri tersebut sebelum mendapat perkenan baginda.

Johor bakal menjadi negeri yang mengadakan pilihan raya negeri selepas Sabah, Melaka dan Sarawak.


Pengarang :