Jurusuntik memberi dos penggalak kepada peserta Vaksin Selangor (Selvax) Booster di Klinik Selcare, Seksyen 13, Shah Alam pada 10 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Program dos penggalak di Tanjung Sepat, Pandamaran minggu ini

SHAH ALAM, 12 JAN: Rakyat Selangor melepasi tempoh tiga bulan suntikan kedua vaksin Covid-19 jenis Sinovac berpeluang mendapatkan dos penggalak di dua pusat pemberian vaksin (PPV) pada Jumaat dan Ahad ini.

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud memaklumkan program Vaksin Selangor (Selvax) Booster akan diadakan di Kompleks Muhibbah Tanjung Sepat pada 14 Januari dan Dewan Kompleks Sukan Pandamaran (16 Januari) dari jam 9 pagi hingga 5 petang.

Program tersebut terhad kepada 1,000 penerima di setiap PPV dengan mengutamakan individu yang belum mendapat janji temu dos penggalak.

“Syarat kelayakan ialah berumur 18 tahun ke atas, lengkap dua dos Sinovac, belum menerima sebarang janji temu di MySejahtera dan bawa bersama kad pengenalan atau pasport,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Suntikan dos penggalak melalui Selvax Booster diadakan di enam Dewan Undangan Negeri (DUN) sejak 17 Disember tahun lalu hingga akhir bulan ini.

Bermula di Balakong, program seterusnya di Bandar Utama pada 18 dan 19 Disember diikuti Rawang 20 Disember, Taman Templer (26 Disember), Seri Kembangan (30 Disember) dan Kuala Kubu Bharu (9 Januari).

Pada 7 Disember tahun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan sebanyak 157,000 dos penggalak akan diberikan secara percuma kepada rakyat negeri ini melalui Selvax Booster.


Pengarang :